fbpx

Bekas banduan mengamuk dicekup simpan pistol, enam butir peluru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Haki (dua dari kanan) menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas bersama suspek pada sidang akhbar di IPD Tanah Merah hari ini. FOTO ROSMIZAN RESDI

TANAH MERAH – Seorang bekas banduan kes dadah dicekup memiliki sepucuk pistol dan enam butir peluru hidup dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Air Murbo, Jedok di sini semalam.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.55 petang apabila polis menerima satu laporan yang mengatakan lelaki tersebut dipercayai mengugut dan mengamuk untuk mencederakan ahli keluarganya selepas tidak dibenarkan menggunakan motosikal.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan mendapati, suspek keluar dari rumahnya kira-kira pukul 2.30 petang dengan membawa sebuah beg galas yang disyaki mengandungi pistol.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, suspek berada seorang diri di kawasan ruang tamu tersebut bersama sebuah beg galas.

“Pemeriksaan lanjut ke atas beg tersebut menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver S&W 357 Magnum Smith/Wesson dan enam butir peluru yang berada di dalam silinder.

“Turut ditemui lima biji dadah jenis pil kuda di dalam beg tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.

Mohd. Haki memberitahu, suspek mendakwa pistol berkenaan diperoleh daripada seorang kenalannya sejak dua minggu lalu.

Katanya, bekas banduan tersebut juga memaklumkan pistol yang berada di dalam simpanannya itu digunakan untuk melindungi diri daripada binatang buas memandangkan suspek bekerja sebagai penebang pokok.

“Suspek memiliki lima rekod jenayah lampau berkait kes jenayah dan dadah. Ujian saringan air kencing turut mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurut Mohd. Haki, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI