fbpx
ERNIE ZAKRI

Bukan tamak, ini peluang – Ernie Zakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENCAPAI satu demi satu kejayaan menguntumkan semakin banyak bunga bahagia dalam hidup penyanyi genit bernama Ernie Zakri.

Terbaharu, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu seakan-akan tidak percaya apabila wajahnya turut mengisi giliran menghiasi papan iklan digital gergasi di New York Times Square, Amerika Syarikat (AS).

Peluang tersebut sekali gus menyenaraikan Ernie sebagai bukan sekadar jaguh kampung yang hanya berbisa di gelanggang tempatan. Dia wajah Malaysia yang boleh memasuki pasaran global.

Penyanyi berusia 30 tahun itu turut menyifatkan 2023 sebagai tahun bertuah buat dirinya sebagai anak seni apabila banyak impian serta pencapaian yang dapat diraih.

“Saya sendiri tak sangka, tahun ini banyak rezeki yang saya dapat, walaupun Billboard tersebut hanya dipaparkan selama sebulan, tapi saya rasa itu adalah pencapaian terbaik dalam karier saya.

“Kalau saya tak bersyukur lagi, tak tahulah, banyak saya dapat kecapi, macam konsert, ‘billboard’ dan menjadi duta kepada produk tenusu nombor satu di Malaysia,” ujar penyanyi yang juga guru vokal itu.

Paling utama luah Ernie, kejayaan demi kejayaan yang diraih merupakan pengembaraan manis untuk dikenang sampai bila-bila sehingga ke akhir hayat.

SERINGKALI dibandingkan dengan penyanyi lain, Ernie percaya setiap penghibur mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri. – AFIQ RAZALI

Tidak tamak

Boleh dikatakan, Ernie telah memahat kukuh jenama dalam industri seni menerusi pelbagai kebolehan artistik yang bukan sahaja mahir dalam bidang seni suara bahkan berbakat di arena lakonan.

Kualiti bakat lakonan figura kecil molek itu terserlah menerusi watak penting dalam drama bersiri Suri Katriana yang meraih pujian ramai walaupun kali pertama beraksi sebagai pelakon.

Ditanya sama ada bimbang andai dilabel tamak dan ‘menyapu licin’ semua tawaran, pelantun lagu Astana itu menyifatkan peluang yang datang adalah rezeki buatnya.

“Saya rasa itu tak tamak, itu adalah peluang dan rezeki untuk saya.

“Ini adalah sebuah perjalanan dan bukan satu pertandingan atau sekadar ‘tamak’ tawaran. Saya terima apa yang baik untuk kerjaya saya, tiada istilah tamak dalam hal ini, saya anggap ini rezeki” ujarnya tegas.

SUDAH menggenggam kemasyhuran dan kejayaan, namun banyak lagi impian dan harapan yang ingin dicapai Ernie sebagai anak seni. Paling utama, dia terus relevan menjadi penghibur di hati khalayak.

Jadi perbandingan

Biarpun menuai banyak pujian, anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak boleh lari daripada ditikam kecaman dan perbandingan netizen yang membandingkan dirinya dengan penyanyi wanita lain seperti Aina Abdul, selain penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Namun, ibu kepada seorang cahaya mata itu berpendapat, memang sudah lumrah seorang penyanyi dibanding-bandingkan dengan penghibur lain sejak dari zaman dahulu lagi.

Enggan mengendahkan segala kata berbaur negatif, Ernie sebaliknya menasihatkan semua peminat agar jangan saling berbalah dan tidak menjadi toksik yang akhirnya mencemarkan imej artis pujaan mereka.

ERNIE mengakui dirinya bukan wanita kuat jika berdepan masalah rumah tangga diganggu orang ketiga.

Murung

“Saya memang tidak boleh lari daripada dijadikan perbandingan sejak dahulu, ditambah pula dengan dunia media sosial, perkara ini semakin menjadi-jadi, saya sekarang malas ambil tahu sangat.

“Saya pasti kalau mereka betul-betul menyayangi artis pujaan masing-masing, mereka tidak akan buat benda yang mencalarkan imej baik artis kesayangan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, isteri kepada penyanyi, Syamel itu mengakui pernah berasa tertekan dan murung memikirkan persoalan tersebut.

“Jujur, kalau dahulu, saya akan rasa ‘down’ sehingga terbit rasa tak seronok pula terhadap rakan-rakan penyanyi yang lain. Benda itu yang saya tidak mahu dan elak sehabis baik.

“Perbandingan ini tidak sihat dan saya rasa asalkan hubungan sesama kami (rakan artis) baik-baik dan okey, maka yang lain saya lantakkan saja.

“Industri muzik di Malaysia sangat kecil. Lebih baik meraikan semua bakat, benda mudah sahaja, tak suka jangan dengar komen.

“Pergilah sokong artis kesayangan anda secara sihat tanpa menghentam orang yang anda tak suka,” katanya

Enggan larut dalam perihal kerjaya dan isu banding membanding, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) itu sempat berkongsikan perihal rumah tangga yang dibina bersama suami tercinta, Syamel.

ERNIE mengakui mungkin boleh hilang kewarasan jika Syamel ada menjalin hubungan dengan wanita lain.

Lelaki jangan menggatal

Meskipun sedang bahagia di singgahsana asmaraloka, Ernie mengakui bimbang andai rumah tangganya diganggu wanita yang kempunan kasih sayang suami orang.

Dia juga mengakui dirinya bukan wanita kuat untuk menghadapi dugaan keberantakan rumah tangga seperti yang dilalui oleh beberapa artis sebelum ini.

“Saya bukan wanita yang kuat untuk hadapi gangguan penyondol. Sejujurnya saya bimbang. Siapa yang mahu suami disondol?

“Ada satu saat, saya takut nak baca-kisah-kisah sebegitu, terutama yang terjadi dalam kalangan artis.

“Saya tidak mahu berada di posisi mereka. Sekiranya berlaku, saya boleh jadi gila dan meroyan, bahkan mungkin boleh buat sidang media untuk kongsi tentangnya (penyondol),” kata Ernie dengan nada tegas.

Ditanya sama ada memberi amaran atau tidak kepada lelaki yang dinikahi sejak Mac 2021 itu berkait isu paling ditakuti golongan isteri, Ernie mengakui mereka saling beringat dan nasihat-menasihati antara satu sama lain.

“Saling mengingati itu perlu dan harus sentiasa sedar diri tentang status berkahwin.

“Pihak lelaki jangan melayan, yang perempuan jangan menggatal, itu paling penting,” ujar ibu kepada Khawla Soleha seraya menutup bicara.

DEMI membina rumah tangga yang harmoni tanpa gangguan orang luar, Ernie dan Syamel sentiasa saling beringat tentang status dan tanggungjawab masing-masing.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN