fbpx

Tarikan rekreasi alam Sungai Sedim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pelawat berpeluang berjalan pada ketinggian 26 meter di atas titian silara, TER Sungai Sedim, Kulim, Kedah.

BERJALAN pada aras ketinggian pokok-pokok di hutan sambil menghirup udara segar sudah pasti mampu menerbitkan rasa yang sungguh nyaman.

Pengalaman tersebut dapat dirasai di Taman Eko Rimba (TER) Sungai Sedim, Kulim, Kedah menerusi tarikan utamanya iaitu titian silara Tree Top Walk Sungai Sedim.

Terletak di Hutan Simpan Gunung Inas, titian silara sepanjang 925 meter itu dibina merentasi Sungai Sedim dan dua daerah iaitu Kulim serta Baling.

Menurut Pengurus Tree Top Walk Sungai Sedim, Siti Rohaida Azizan, titian silara tersebut merupakan salah satu projek ekopelancongan serta pembelajaran, di mana terdapat info-info berkaitan flora dan fauna di sepanjang laluan kanopi.

“Terdapat beratus-ratus jenis pokok di kawasan TER Sungai Sedim.

“Pada pokok-pokok di sepanjang titian silara ini terdapat tagging pengenalan nama serta board yang menerangkan mengenai tumbuhan tersebut.

“Pihak pengurusan dalam perancangan untuk mengenalkan label kod QR sebagai salah satu cara untuk para pengunjung mengenali serta meneroka keunikan pokok-pokok ini.

“Antara pokok-pokok yang terdapat di laluan kanopi ini adalah cengal, ara, ara pencekik, meranti sarang punai, meranti langgong, terap nasi, mahang, kulim dan banyak lagi,” katanya kepada Horizon.

PARA pelawat berpeluang berjalan pada ketinggian 26 meter di atas titian silara, TER Sungai Sedim, Kulim, Kedah.

Uniknya, pengalaman berjalan di paras setinggi 26 meter itu boleh dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan orang kelainan upaya.

Rata-rata pengunjung memerlukan masa antara 30 hingga 45 minit untuk menghabiskan lawatan mereka di atas titian silara tersebut.

Tambah Siti Rohaida, titian silara itu juga merupakan salah satu lokasi birders atau peminat aktiviti memerhati dan merakam gambar burung.

“Ini merupakan lokasi terbaik untuk seisi keluarga menikmati terapi alam yang mampu merehatkan minda dan menimbulkan rasa tenang.

“Buat masa ini, kami menyediakan tiket percuma ke titian silara Tree Top Walk bagi setiap tempahan bilik keluarga.

“Bagi pengunjung yang bernasib baik dan datang pada masa tepat, mereka berpeluang melihat pelbagai spesies burung sewaktu meneroka titian ini,” jelasnya.

Selain itu, pelawat berpeluang melakukan aktiviti perkelahan di kawasan sungai.

Terdapat juga aktiviti-aktiviti rekreasi yang disediakan seperti waterfall abseiling, white water rafting, tubing, river crossing, flying fox, jungle trekking, berkhemah dan pendakian Gunung Bintang.

Kepada yang berminat menjalankan aktiviti team building, kemudahan lengkap termasuk bilik-bilik penginapan, dewan serta fasilitator turut disediakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI