fbpx

Kelantan, Sabah setuju jalin kerjasama tangani isu air – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika merasmikan gimik penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Dalur Madani di Presint 18, hari ini.-Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Kerajaan Kelantan dan Sabah bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu air di dua negeri berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai ketika beliau mengadakan mesyuarat khas bersama Menteri Besar Kelantan dan Ketua Menteri Sabah yang diadakan pada hari ini, bagi menyelesaikan permasalahan air yang berlaku.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Kelantan mengemukakan permohonan dana sebanyak RM8 bilion untuk pelaksanaan beberapa projek bekalan air bersih, namun beliau belum memutuskan persetujuan sebelum ia dibincangkan terlebih dahulu menerusi pasukan petugas khas.

“Pasukan tersebut akan meneliti terlebih dahulu dengan tepat apa keperluan dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti aspek pengurusan dan ketelusan dalam pelaksanaan projek berkenaan.

“Apa yang penting, (keputusan) daripada apa-apa pertimbangan lain adalah tanggungjawab kita memastikan rakyat memperoleh kemudahan air bersih dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur di sini hari ini.

Katanya, masalah bekalan air di Kelantan adalah lebih serius jika dibandingkan di Sabah memandangkan keperluan kewangan bagi pelaksanaan projek itu adalah tinggi.

Beliau juga meminta supaya Kerajaan Negeri Kelantan memastikan aspek pengurusan lebih telus dan efisyen, mereka harus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan sekali gus menerima segala keputusan secara bersama.

“Kerajaan Negeri tidak boleh lagi bekerja secara solo kerana memerlukan dana yang tinggi, jadi mereka perlu memastikan penyaluran bekalan air bersih benar-benar sampai kepada rakyat.

“Dana sebanyak RM8 bilion yang dimohon Kerajaan Negeri Kelantan saya belum bersetuju dan perlu melihat kepada beberapa peringkat keperluan utama.

“(Kelantan) tidak ada bekalan rizab air, tetapi mereka memohon 100 peratus keperluan itu, namun kita lihat tiada keperluan sebanyak itu,” katanya.

Anwar juga memberikan tempoh masa selama seminggu kepada pasukan petugas khas bagi mengemukakan strategi segera dalam menangani isu berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI