fbpx

Impian Young Tigers ke pentas final lebur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA (jersi kuning) gagal ke final Piala Remaja Asia selepas tewas 2-6 kepada Pakistan pada aksi separuh akhir di Salalah, Oman awal pagi tadi. - AHF/MHC

KUALA LUMPUR – Skuad hoki remaja lelaki negara gagal menamatkan penantian 11 tahun untuk beraksi di final Piala Remaja Asia sejak menjuarai edisi 2012 di Melaka.

Ia susulan kekalahan 2-6 kepada Pakistan pada aksi separuh akhir edisi 2023 di Kompleks Sukan Salalah, Oman awal pagi tadi dan terpaksa bermain dalam penentuan tempat ketiga dan keempat menentang Korea Selatan malam ini.

Ketua jurulatih skuad remaja negara, Muhamad Amin Rahim tidak menuding jari kepada mana-mana individu, sebaliknya berbangga dengan aksi ditunjukkan para pemainnya walaupun bolos empat gol dalam suku masa terakhir.

“Sukar untuk terima kita tewas dalam perlawanan ini tetapi sekurang-kurangnya kita sudah nampak apa kekurangan perlu diperbaiki dan kekuatan kita yang boleh ditingkatkan.

“Saya harap pemain-pemain masih kekal positif kerana kelemahan dari segi fizikal kita tewas kepada Pakistan. Mereka perlu yakin, percaya dengan keupayaan individu dan rakan sepasukan untuk keluar dengan kemenangan,” katanya.

Malaysia meraih gol pertama menerusi T. Perabu (m-21) tetapi Pakistan bangkit mendahului 2-1 hasil dua jaringan dalam tempoh dua minit daripada Mohammad Khan dan Abdul Rehman pada minit ke-42 serta 44.

Jaringan padang daripada Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar pada minit ke-45 menyaksikan skuad projek khas itu menamatkan suku ketiga dengan kedudukan 2-2.

Bagaimanapun, empat gol Pakistan dalam tempoh 15 minit terakhir menerusi Abdul Shahid (m-47), Abdul Rehman (m-48, m-51) dan Ahmad Arbaz (m-58) membolehkan bekas juara tiga kali itu mara ke final edisi kali ini.

Sehubungan itu, Amin menuntut barisan pemainnya agar tidak patah semangat dan menebus kekecewaan tersebut dengan merebut tempat ketiga menewaskan Korea Selatan malam ini.

“Kita akan sekali lagi bermain dengan Korea Selatan. Kita ada pengalaman lawan mereka tetapi kemenangan 3-1 (aksi peringkat Kumpulan B) tidak boleh menjadi penanda aras.

“Ini perlawanan merebut pingat. Saya nak pemain-pemain turun dengan semangat tinggi dan bermain taktikal sama untuk cuba dapatkan tempat ketiga,” jelasnya.

Sebagai rekod, Korea Selatan gagal melangkah ke final selepas dibelasah 1-9 oleh India dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI