fbpx

Akta Kerja memadai lindung pekerja, pelajar jalani latihan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar (dua dari kiri) hadir ke National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023 - Wilayah Utara di SPICE Arena hari ini

GEORGE TOWN – Kementerian Sumber Manusia menjelaskan Akta Kerja 1955 adalah mencukupi untuk melindungi hak pekerja termasuk pelajar-pelajar yang menjalani latihan industri.

Bagaimanapun, Menterinya, V. Sivakumar berkata, pihaknya bersedia untuk meneliti saranan pihak tertentu yang mahu kementerian melihat semula akta tersebut bagi memastikan hak pelajar yang menjalani latihan industri terbela.

”Akta sedia ada (Akta Kerja 1955) mencukupi. Namun, kita akan teliti semula saranan yang dibuat oleh pihak tertentu yang mahu kita melihat Akta Kerja sedia ada,” katanya selepas menghadiri National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023 – Wilayah Utara, di sini hari ini. Turut hadir ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

NHCCE 2023 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dengan fokus utama menumpukan pada cabaran dan peluang yang dihadapi oleh pemain industri di wilayah Utara.

Sebelum ini, media melaporkan banyak syarikat ternama membuat kerahan kerja pekerja terhadap pelajar praktikal tanpa dibayar elaun.

Susulan itu, pelbagai pihak termasuk
Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menggesa supaya cadangan untuk mewujudkan akta khas berkaitan elaun pelajar latihan industri disegerakan bagi mengelakkan eksploitasi tenaga kerja.

Yang Dipertuanya, Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrain berkata, isu itu sudah terlalu lama dibiarkan dan sudah tiba masa ia segera dibentangkan di Kabinet.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja untuk memastikan pekerja-pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini telah mempunyai pekerjaan.

”Kementerian memang sangat prihatin dengan perkara ini, kita tidak mahu mana-mana majikan membawa masuk pekerja asing secara sewenang-wenangnya jika mereka tidak mempunyai pekerjaan.

”Saya juga telah memberi arahan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk pastikan bahawa pekerja asing yang masuk ke negara kita telah mempunyai pekerjaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI