KUALA LUMPUR – Platform kewangan digital untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Funding Societies menyasarkan untuk mengagihkan pembiayaan Islamik berjumlah sekurang-kurangnya RM100 juta menjelang akhir tahun ini.
Ia menerusi pelancaran penyelesaian pembiayaan Islam komprehensif yang merangkumi produk Pembiayaan Mikro-i, Pembiayaan Invois-i dan Pembiayaan Perniagaan-i yang menyasarkan pelbagai segmen PKS.
Menerusi pendekatan digital dan tidak memerlukan jaminan, PKS boleh membuat permohonan pada bila-bila masa secara online dengan tempoh mendapat kelulusan atau penolakan yang lebih pantas berbanding institusi kewangan tradisional.
Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, jurang pembiayaan PKS di Malaysia dianggarkan berjumlah RM90 bilion dan pihaknya berhasrat memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang tersebut.
Jelasnya, sejak beroperasi di negara ini, Funding Societies telah mengagihkan pembiayaan lebih RM2 bilion sehingga April lalu.
“Setelah melakukan pelancaran awal bagi ketiga-tiga produk ini pada Mei tahun lalu, ia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada PKS.
“Kami menyasarkan agar sekurang-kurangnya 50 peratus daripada agihan kami di Malaysia datang daripada pembiayaan patuh shariah menjelang tahun 2025,” katanya dalam majlis pelancaran produk baharu syarikat di sini.
Pembiayaan Perniagaan Berkala-i oleh Funding Societies menyediakan pembiayaan modal kerja berjumlah antara RM100,000 hingga RM500,000 untuk tempoh sehingga 18 bulan pada kadar satu hingga 1.5 peratus sebulan.
Pembiayaan Mikro-i yang menyasarkan pelanggan perusahaan mikro, kecil dan sederhana menyediakan jumlah pemiayaan bermula RM3,000 hingga RM200,000 dengan kadar faedah 0.8 hingga 1.5 peratus sebulan. -KOSMO! ONLINE














