fbpx

Sanusi boleh terus bergurau – Kon Yeow

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (tengah) ketika menghadiri sidang akhbar mengenai Penang International Food Festival 2023, di Lebuh Pantai hari ini. - Foto oleh SAFINA RAMLI / KOSMO!

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menganggap ‘gurauan’ Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut adalah satu perkara yang serius.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, gurauan sedemikian bukan suatu perkara yang baharu, malah banyak isu berkaitan Pulau Pinang disebut oleh Muhammad Sanusi sebelum ini.

“Menteri Besar Kedah telah menyatakan bahawa dia bergurau bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah, ia bukan satu gurauan yang baharu tetapi gurauan secara serius.

“Maka kita pun dengar secara serius, jadi Sanusi boleh terus bergurau,” katanya selepas menghadiri sidang akhbar Penang International Food Festival 2023, di sini hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi terus menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang kepada Muhammad Sanusi, Kon Yeow memberitahu, Pulau Pinang bersedia untuk berdepan dengan Menteri Besar Kedah itu di mahkamah.

“Seperti isu-isu sebelum ini, kita memang kata kita jumpa di mahkamah. Apa-apa tuntutan termasuk bayaran air, tuntutan ke atas Seberang Perai, kita jumpa di mahkamah namun sehingga kini, Muhammad Sanusi hanya bergurau dan tidak pernah mengambil apa-apa tindakan undang-undang,” katanya.

Kon Yeow berkata, beliau tidak berani untuk menasihatkan Menteri Besar Kedah itu untuk menghentikan ‘gurauan’ berkaitan Pulau Pinang kerana adalah lebih baik rakyat Kedah serta pengundi negeri itu sendiri yang membuat keputusan.

“Saya tidak berani nasihat dia (Muhammad Sanusi), sebab dia Menteri Besar Kedah, kalau mahu nasihat biar rakyat dan pengundi Kedah nasihat dia lebih baik.

“Mungkin dia tidak ada isu pun nak disebut sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI