fbpx

Fahmi Fadzil gesa Awesome TV jelaskan tunggakan bayaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi Fadzil menggesa pihak Awesome TV menjelaskan kelemut termasuk bayaran tertunggak dengan pihak terlibat termasuk agensi bawah kementeriannya, My Creative Ventures (MCV). - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – “Saya difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuat kompaun terhadap Awesome TV.”

Demikian kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menggesa agar stesen televisyen terbabit menjelaskan bayaran tertunggak dengan beberapa pihak lain termasuk agensi bernaung di bawah kementeriannya, My Creative Ventures (MCV).

Kata Fahmi, Awesome TV beroperasi dengan berlakunya pelanggaran syarat-syarat perlesenan seperti apa dimaklumkan pihak SKMM.

Justeru, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan lembaga pengarah stesen TV tersebut pada 15 Mei lalu dan meminta untuk menyegerakan sebarang bayaran tertunggak.

“SKMM memaklumkan, Awesome TV beroperasi dengan ada pelanggaran syarat-syarat pelesenan.

“Saya sudah minta pengarah dan juga CEO untuk bantu segera jelaskan isu-isu melibatkan tunggakan (sekiranya ada).

“Saya dimaklumkan agensi di bawah KKD iaitu MCV, terdapat sejumlah sama ada penerbit ataupun syarikat yang telah menerima dana daripada MCV dengan tujuan untuk menghasilkan filem atau kandungan.

“Saya difahamkan konten tersebut sepatutnya dibayar atau dibeli oleh pihak Awesome TV. Tetapi, ada sebab-sebab tertentu, perinciannya belum diberikan kepada saya. Ada sejumlah syarikat belum dibayar oleh stesen TV itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online usai sesi Townhall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem di Rex KL, di sini, malam tadi.

Fahmi sudah bertemu pengurusan tertinggi Awesome TV bagi memastikan kontroversi tidak berlanjutan, pada 15 Mei lalu. – AMIR KHALID.

Kata Fahmi lagi, beliau akan sekali lagi mengadakan pertemuan dengan pihak Awesome TV untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

“Saya minta mereka segera menyelesaikan masalah tunggakan. Bukan hanya dengan MCV tetapi juga dengan mana-mana pihak lain.

“Walaupun saya difahamkan ada pihak terbabit terlibat dengan saman sivil dan sebagainya, saya minta semnua pihak duduk di meja perundingan. Kita cuba selesaikan dengan baik.

“Kalau dapat diselesaikan dengan baik, maka semua pihak akan dapat manfaat dan mereka yang telah menghasilkan karya boleh dapat bayaran.

“Awesome TV juga boleh teruskan menyiarkan. Apapun, saya telah minta SKMM sebagai badan kaunselor yang mengeluarkan lesen untuk terus memantau beberapa perkara agar semua dapat diselesaikan segera.

Sesi Townhall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim dan Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman.

Sesi yang dihadiri lebih 400 penggiat seni perfileman tanah air diterajui oleh moderator yang juga pengacara, Nazrudin Habibur Rahman.

Terdahulu, Awesome TV dilaporkan dipanggil SKMM kerana menerbitkan kandungan berita yang melanggar undang-undang.

Fahmi dilaporkan memberitahu, saluran TV itu yang disiarkan di MYTV dan Astro, didapati menerbitkan kandungan berita yang melanggar peraturan sebanyak enam kali, termasuk fitnah terhadap kerajaan hari ini.

Sehubungan itu, Fahmi dilapor mengingatkan semua agensi media agar menerbitkan kandungan secara bertanggungjawab dan beretika serta mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI