fbpx
PELAJAR latihan industri melakukan tugas sama seperti pekerja yang menerima gaji.

Sengsara tiada elaun, pelajar praktikal ikat perut, jadi rider

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebilangan besar pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalani latihan industri di negara ini ibarat buruh paksa apabila tidak dibayar elaun atau wang saguhati daripada pihak majikan sehingga ada yang terpaksa mengikut perut.

Disebabkan kos sara hidup yang makin meningkat, ada dalam kalangan mereka terpaksa ‘mencuri’ masa dan merisikokan nyawa sendiri dengan melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Malah, ada mahasiswa yang terpaksa menebalkan muka meminjam wang rakan-rakan demi kelangsungan hidup sepanjang menjalani latihan industri yang mengambil masa tiga hingga enam bulan.

Rata-rata pelajar yang ditemui Kosmo! memberitahu mereka dikerah tenaga selama lapan hingga 13 jam setiap hari oleh majikan tanpa sebarang bayaran elaun atau saguhati.

Seorang pelajar, Fatin Hanani, 23, berkata, dia melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan pada hujung minggu bagi menampung perbelanjaan sepanjang menjalani latihan industri selama tiga bulan di syarikat menjual peralatan rumah.

“Saya bekerja dari pukul 8 pagi hingga 6 petang setiap Isnin hingga Jumaat tanpa dibayar elaun.

“Saya perlu membelanjakan sebanyak RM600 sebulan bagi menampung kos seperti sewa rumah, tambang pergi dan balik ke tempat praktikal dan makanan. Apabila tiada elaun, saya terpaksa buat kerja sambilan untuk mencari wang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Fatin Hanini, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana hanya syarikat tersebut yang menawarnya untuk menjalani latihan industri biarpun telah membuat permohonan di tiga buah syarikat.

GAMBAR HIASAN

Jelas pelajar itu, dia hanya mempunyai masa selama se­minggu untuk melapor diri dan pihak syarikat terlebih dahulu memaklumkan mereka tidak memberikan elaun atau saguhati kepada pelajar latihan industri, namun tugasnya sama seperti pekerja-pekerja lain.

Seorang lagi pelajar dikenali sebagai Nik Azlin, 24, memberitahu, dia terpaksa mengikat perut kerana baki pinjaman Perbada­nan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diterima hanya cukup-cukup untuk membayar sewa bilik dan membeli makanan.

Nik Azlin yang menjalani latihan industri di sebuah agensi media memberitahu, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana keluarganya bukan orang senang.

“Saya berasal dari Kelantan, keluarga saya bukan orang se­nang, saya juga tidak mahu menyusahkan ibu bapa.

“Kalau sewaktu belajar di universiti, saya boleh makan dua kali sehari kerana harga makanan di kafe siswa murah, tetapi di luar (kampus) harga nasi berlauk adalah RM10.

“Jadi saya terpaksa ikat perut dengan hanya memakan nasi sekali dalam sehari,” luahnya.

Nik Azlin memaklumkan, dia mengakui kesilapan tidak me­nyemak terlebih dahulu berkaitan elaun dengan orga­nisasi tempatnya menjalani latihan industri sebelum itu.

“Selepas mendaftar, tertera dalam surat bahawa tiada elaun untuk pelajar praktikal,” ujarnya.

Bagi pelajar Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Mohd. Hardie, 25, dia terpaksa menebalkan muka ‘mengemis’ wang rakan-rakannya untuk mengisi petrol motosikal yang digunakan untuk berulang-alik ke tempat praktikal kerana ditipu berkaitan elaun.

“Dalam surat tawaran, pihak majikan beritahu ada elaun RM700 sebulan, tetapi pembayaran yang diterima selama dua bulan berbeza seperti yang dijanjikan. Mereka hanya bayar RM300 sebulan.

“Saya ada bertanyakan tentang perkara tersebut kepada jabatan sumber manusia di syarikat terbabit, tetapi mereka memberikan alasan terdapat perubahan polisi baharu syarikat.

“Yang mengecewakan saya adalah kenapa mereka tidak memaklumkan mengenai perkara ini (perubahan),” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN