fbpx

Kedah, Perlis muktamad perjanjian sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (duduk, tengah) dan Mohd. Shukri (duduk, kanan) menandatangani dokumen bagi memuktamadkan perjanjian sempadan di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Dua negeri paling hujung di utara tanah air iaitu Kedah dan Perlis hari ini mencatat sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang memuktamadkan perjanjian sempadan darat dan maritim secara serentak.

Perjanjian yang dianggap cukup signifikan dan penting bagi mengiktiraf sempadan kedua-dua negeri selain memuktamadkan keabsahannya itu, disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta rakan sejawatannya dari Perlis, Mohd. Shukri Ramli.

Dalam majlis yang diadakan di Wisma Darul Aman di sini, kedua-dua pihak menandatangani tiga dokumen iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) Menerima Hasil Penandaan dan Pengukuran dijalankan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Perjanjian Sempadan Darat Kedah Perlis serta Perjanjian Sempadan Maritim.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut, Mohd. Shukri berkata, langkah memuktamadkan sempadan itu akan membolehkan kedua-dua negeri membuat perancangan pembangunan yang lebih tepat dan jitu terutamanya di kawasan sempadan.

“Usaha ini secara tidak langsung akan membolehkan pihak berkuasa negeri masing-masing menguatkuasakan kutipan hasil cukai di kawasan sempadan negeri dengan lebih cekap dan terurus serta mencegah pencerobohan tanah serta penerokaan sumber tidak sah.

“Melalui usaha ini, saya percaya Kedah dan Perlis akan menerima manfaat secara bersama dari segi pembangunan, limpahan ekonomi, kutipan hasil serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Bersandarkan hasil kerja penandaan dan pengukuran yang dimuktamadkan itu, keseluruhan sempadan Kedah dan Perlis bagi kawasan darat adalah sepanjang 44.3 kilometer berbanding anggaran asal iaitu 41.5 kilometer sebelum ini.

Sempadan maritim pula ditetapkan sepanjang 5.6 kilometer atau tiga batu nautika dengan pelan kerja hasil penandaan serta pengukuran sempadan darat dan maritim tersebut, telah pun ditandatangani pada 27 September 2022 secara bersama oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Galian kedua-dua negeri.

Sementara itu Muhammad Sanusi memaklumkan, langkah tersebut akan mampu untuk menyelesaikan beberapa isu teknikal berkaitan sempadan kedua-dua negeri sebelum ini.

Selain itu katanya, Kedah amat memerlukan sokongan kerjasama dan kepakaran Jupem untuk menyelesaikan persempadanan antara negeri itu dengan negeri-negeri berjiran lain seperti Perak.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI