fbpx

Gergasi Merah bangkit melangkah ke separuh akhir Piala FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pegawai dan pemain Selangor meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban kelmarin. – MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SKUAD Gergasi Merah menarik nafas lega apabila bangkit daripada kejutan gol awal perlawanan sebelum menewaskan Nege­ri Sembilan malam tadi untuk mara ke separuh akhir Piala FA musim ini.

Ketua jurulatihnya, Tan Cheng Ho berkata, gol Negeri Sembilan pada minit pertama perlawanan suku akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi mengejutkan Selangor dan telah menjejaskan sedikit rentak permainan.

Namun katanya, para pemain cepat pulih dan segera mengatur serangan balas bagi mendapatkan gol penyamaan dalam tempoh dua minit melalui Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

“Selepas gol itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan masing-masing mempunyai peluang menjaringkan gol,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.

Pada aksi kelmarin, Selangor menewaskan Negeri Sembilan 3-1 dengan gol skuad Gergasi Merah dihasilkan menerusi Muhammad Mukhairi pada minit ke-3 dan dua gol oleh pemain import, Yohandry Jose Orozco Cujia pada minit ke-60 dan 87, manakala jaringan Negeri Sembilan dihasilkan oleh Muhammad Safuwan Baharudin pada minit pertama perlawanan.

Mengenai kemungkinan akan bertemu Johor Darul Ta’zim pada aksi separuh akhir, Cheng Hoe enggan membuat sebarang jangkaan awal, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha membaiki sebarang kelemahan dan meningkatkan latihan ke atas skuadnya.

“Para pemain telah menunjukkan sikap positif untuk bergerak sebagai satu pasukan dan ia adalah sesuatu yang baik untuk kami melangkah jauh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan mempertahankan para pemainnya yang telah memberikan persembahan terbaik pada perlawanan kelmarin dan tidak wajar dipersalahkan selepas menunjukkan prestasi mengawal kubu pertahanan sehingga minit ke-60.

Devan mengulangi pendirian bahawa tanpa pemain import berkualiti, Negeri Sembilan akan terus berdepan dengan keputusan permainan yang tidak digemari terutamanya apabila berdepan dengan pasukan yang mempunyai banyak pilihan pemain import seperti JDT, Selangor dan Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI