fbpx

Memori seekor kucing dua wajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seekor kucing, Frank & Louie pernah mencipta sejarah sebagai kucing Janus paling lama hidup di dunia sebelum dimatikan akibat kanser pada tahun 2014.

HATI seorang jururawat, Martha Marthy Stevens tersentuh saat terlihat seekor kucing yang memiliki dua muka diletakkan di klinik veterinar tempatnya bekerja.

Kucing yang pada ketika itu berusia satu hari, dihantar ke Cummings School of Veterinary Medicine di Universit Tufts di Amerika Syarikat oleh penternak baka untuk dimatikan.

Tidak sanggup membiarkan nyawa kucing malang itu diragut, Martha menawarkan diri untuk menjaganya.

Diberi nama Frank & Louie, kucing itu merupakan kucing Janus iaitu memiliki satu otak, meskipun mempunyai dua hidung dan mulut. Nama sahaja seperti dua ekor, namun hakikatnya ia bukan kucing kembar dan merupakan seekor kucing.

Istilah ‘kucing Janus’ diilhamkan oleh Dr Karl Shuker, ahli zoologi British yang menjadi perunding sains hayat untuk Guinness World Records.

Perkataan ‘Janus’ diinspirasi daripadai Dewa Janus yang digambarkan sebagai dewa bangsa Romawi dengan dua wajah yang menghadap ke arah berbeza.

“Kucing seperti Frank & Louie, dilahirkan dengan dua muka, mengalami kelainan perkembangan yang dikenali sebagai diprosopia. Diprosopia ialah muka melebar dan sebahagiannya berganda semasa proses embriogen berlaku.

Martha menyifatkan kucing luar biasa yang dipeliharanya itu seekor kucing yang mesra dan manja.

“Ini disebabkan oleh pengeluaran berlebihan protein khusus yang dipanggil SHH,” jelas Dr Shuker.

Mengikut kebiasaan, ‘kucing Janus’ seperti ini jarang bertahan lebih daripada sehari selepas kelahiran mereka.

Bagaimanapun, Frank & Louie kekal hidup selama 15 tahun 87 hari sekali gus menjadikannya kucing Janus paling lama bertahan. Frank & Louie dilahirkan pada 8 September 1999 dan akhirnya meninggal dunia pada 4 Disember 2014.

Ini membuktikan gerak hati Martha ketika mahu menjaga anak kucing unik itu benar biarpun pakar perubatan menasihati sebaliknya.

Mengimbau berkenaan sifat Frank & Louie, Martha menggambarkan bahawa ia seekor kucing yang mesra dan manja.

“Frank & Louie sangat santai, tidak takut kepada orang dan sangat mesra. Sifatnya sebenarnya lebih kepada anjing daripada kucing.

“Ia gemar berjalan sambil dipakaikan tali di leher. Ia juga pandai masuk ke dalam kereta untuk menikmati pemanduan bersama saya,” ujarnya.

Selepas muncul dalam Guinness World Records 2012, Frank & Louie menjadi selebriti internet serta muncul dalam banyak artikel berita dan video.

Malangnya, pada tahun 2014, Frank & Louie terpaksa dimatikan kerana menghidap sejenis kanser yang agresif.

Menurut Dr Shuker, usia 15 tahun merupakan satu usia yang luar biasa bagi seekor kucing Janus.

“Usia yang dicapai Frank & Louie jauh mengatasi semua kucing serupa sebelumnya dan mungkin tidak akan diatasi oleh mana-mana kucing pada masa depan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI