PETALING JAYA – Seorang wanita tidak menyangka tindakannya mengupah kontraktor haram warga asing untuk melakukan pengubahsuaian rumah rupa-rupanya menjadi mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa penipuan pihak terbabit.
Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Lin, 44, berkata, dia pada mulanya mengupah kontraktor dalam kalangan warga asing untuk mengubah suai sebuah rumah miliknya di Subang Jaya tahun lalu dengan kos keseluruhan sekitar RM50,000.
Bagaimanapun, katanya, kontraktor berkenaan secara halus cuba memperdayakannya apabila kerap meminta untuk menambah bayaran atas pelbagai alasan termasuk bahan binaan tidak mencukupi.
“Jika saya mengguakan kontraktor tempatan dan berlesen, kerja pengubahsuaian menelan kos kira-kira RM80,000, sedangkan kos yang ditawarkan kontraktor warga asing itu cuma sekitar RM50,000.
“Namun, sepanjang kerja-kerja pengubahsuaian berjalan, mereka kerap meminta duit.
“Sekejap-sekejap kata itu tak cukup, ini tak cukup dan mereka cukup licik.
“Sampai ke satu tahap, saya terpaksa memantau setiap kerja yang mereka lakukan untuk mengelak ditipu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.
Lin berkata, dia juga mengakui kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan oleh kontraktor haram warga asing ini hanya indah khabar dari rupa apabila kualiti pembinaan sangat teruk dan tidak selamat.
Malah, katanya, turut berlaku insiden apabila salah seorang pekerja kontraktor itu mengalami kecederaan teruk akibat terjatuh kerana tidak mempunyai kelengkapan keselamatan.
“Paling menyedihkan apabila kontraktor berkenaan menghilangkan diri sebelum kerja-kerja pengubahsuaian selesai.
“Sebenarnya saya tidak tahu pun mereka warga asing. Seorang rakan yang perkenalkan mereka kepada saya,” luahnya.














