fbpx

KPM telus, adil siasat aduan rasmi masalah sosial pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina selepas merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, Nibong Tebal hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/ KOSMO!

SEBERANG PERAI – Saluran aduan rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) harus digunakan sebaiknya bagi membolehkan setiap maklumat yang diterima dapat disiasat secara adil dan saksama.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian memiliki ruang dan proses tersendiri bagi setiap aduan yang dikemukakan sama ada membabitkan isu buli mahupun gejala sosial lain.

Menurutnya, beliau mengakui akan kebimbangan ibu bapa dan masyarakat susulan kejadian buli dan masalah sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar sejak kebelakangan ini namun tetap positif menyelesaikannya menggunakan saluran tepat.

“Saya fikir kita tak pernah terlambat untuk buat apa-apa tindakan atau intervensi khususnya yang terkait rapat dengan pemulihan dan juga nasihat yang betul bagi memastikan mereka kembali kepada ABC (Anak yang Baik Lagi Cerdik).

“Dalam konteks ini, saluran KPM rasmi harus digunakan sebaik-baiknya dan seluasnya supaya kita boleh rekodkan aduan untuk tindakan susulan berkaitan intervensi dan pemulihan.

“Selain itu, sokongan daripada seluruh ekosistem komuniti termasuk ibu bapa dan ahli masyarakat amat diperlukan dan tidak semata-mata menghukum anak-anak ini kerana mereka masih muda, malah perlu bersama pastikan mereka didokong dan didorong untuk menjadi anak lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung isu buli dan gejala sosial yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini selepas merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, Nibong Tebal di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana kes buli namun proses siasatan haruslah dihormati semua pihak.

“Proses siasatan ini harus telus, ini negara hukum dan kita mesti sabar dengan proses siasatan, sebab ramai asyik tanya bila nak selesai, bila nak ambil tindakan?

“Semua pihak kena bagi laporan siasatan yang adil, dan hukuman ini bergantung pada tahap ‘severity‘ (keterukan) kes buli ini. Yang mana salah tetap salah dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI