fbpx

Benih pupus, patin masak tempoyak naik harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengusaha ikan patin di Temerloh.

TEMERLOH – Krisis bekalan ikan patin di Temerloh memberi kesan jangka pendek dan panjang kepada industri ikan patin di daerah ini yang dikenali sebagai bandar ikan patin.

Menurut sumber ketiadaan bekalan ikan patin bukan sahaja menjejaskan pendapatan peniaga dan penternak, tetapi juga pengusaha gerai dan kedai makan yang menjual juadah ikan patin tempoyak.

Jelas sumber akibat permintaan yang tinggi daripada pelanggan menyebabkan ada segelintir kedai makan terpaksa mendapatkan sumber ikan patin daripada luar daerah ini.

Malah ada juga peniaga kedai makan yang dikatakan bertindak membeli ikan patin kolam sekali gus mencemarkan keaslian ikan patin Temerloh yang terkenal seluruh negara.

Bukan itu sahaja ada peniaga kedai makan dan gerai dilihat terpaksa menaikan harga ikan patin sehingga mendapat rungutan daripada pelanggan dalam kea­daan kos sara hidup yang mening­kat pada masa ini.

Ikan patin masak tempoyak yang sememangnya terkenal di Temerloh.

“Jika ini (pengambilan patin luar dan kolam) berlarutan saya yang telah lama terlibat dalam industri ikan patin di Temerloh ini bimbang ia beri kesan kepada industri patin Temerloh.

“Saya risau keadaan ini akan jejaskan keaslian ikan patin Temerloh memandangkan tiada lagi keistimewaan di sini sekali gus rosakkan imej dan masa depan pa­tin Temerloh,” katanya yang terlibat dalam penternakan dan juga perniagaan juadah ikan patin.

Dalam pada itu seorang peminat ikan patin, Khairul Irwan, 37, berkata, dia kecewa kerana terdapat peniaga kedai makan yang turut menjual patin kolam.

Katanya, tindakan itu menyebabkan dia berasa tertipu kerana rasa ikan patin kolam adalah berbeza dengan ikan patin yang dipelihara di Sungai Pahang dan Sungai Semantan yang enak.

Semalam Kosmo! melaporkan bekalan ikan patin Temerloh hanya mampu bertahan beberapa bulan ekoran kekurangan benih dan air sungai berkeruh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI