fbpx

Masjid sebagai pangkalan dan pusat ilmu – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berqasidah pada Majlis Ilmu Madani bersama dua tokoh ulama besar dunia Islam di Masjid Putra malam ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu institusi masjid di negara ini dijadikan pangkalan dari segi ibadah dan pusat ilmu sekali gus mengangkat martabat dan darjat umat Islam.

Perdana Menteri berkata, ia juga adalah maksud sebenar dan asas kepada sebuah negara Madani iaitu meletakkan semua dasar pendidikan, ekonomi, ihsan, akhlak dan amanah pada tempatnya.

Pada masa sama, katanya, umat Islam juga perlu menyantuni rakan-rakan bukan Islam sebagai kaum keluarga yang boleh bergerak bersama-sama secara aman dan hikmah.

“Semangat dan nilai yang dipupuk termasuk sifat ihsan serta rahmah itu akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus berpaut pada Islam.

“Kita cuba menyantuni semua sebagai kaum yang boleh bersama- sama secara aman dan penuh hikmah mengangkat martabat, darjat, harakat, umat dan bangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, di sini malam ini.

Anwar bersama Syeikh Prof. Dr. Ali Jumuah Al Azhari dan Habib Umar ketika solat Maghrib berjemaah pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra malam ini. – Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

Program itu menampilkan dua tokoh ulama besar dunia Islam, Mantan Mufti Agung Mesir, Syeikh Prof. Dr. Ali Jumuah Al Azhari dan Pengasas serta Pengetua Dar Al Mustofa (Tarim, Yaman), Habib Umar Muhammad Bin Salim Ben Hafidz.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dihadiri lebih 20,000 pengunjung yang mula membanjiri masjid sejak pukul 6 petang tadi.

Antara jemaah yang hadir di Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, malam ini. – Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

Anwar berkata, majlis malam ini adalah program kedua beliau bersama dua tokoh Islam itu selepas Majlis Muzakarah Ulama dan Umara, di Shah Alam, Selangor petang semalam.

Menurutnya, beliau mahu hadirin memberi ruang sepenuhnya untuk mendengar kupasan dua tokoh Islam ini yang penuh dengan hikmah dan bijaksana.

“Kupasan dua tokoh ini berbeda sekali dengan kadang-kadang fahaman kita tentang Islam dan agama kerana pandangan mereka itu penuh dengan ilmu, asas Quran dan hadis.

“Pengajaran daripada ulama-ulama Islam ini menjadikan mereka ini sebagai ikon kepada umat Islam berdasarkan keikhlasan ilmu dan semangat juang kental mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI