fbpx

Harga gula kasar, halus kekal RM2.85, RM2.95 sekilogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pengeluaran gula putih bertapis jernih tidak akan menjejaskan bekalan gula putih bertapis kasar dan halus sebanyak 42,000 metrik tan sebulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, harga jualan gula putih bertapis kasar dan halus malah masih dikawal.

Jelas beliau, kerajaan akan terus mengawal harga gula dan tetap dijual pada harga RM2.85 sekilogram untuk gula kasar dan RM2.95 sekilogram untuk gula halus.

“Walaupun pihak pengeluar sudah mendapat kebenaran untuk menjual gula putih bertapis jernih di pasaran, ingin saya tegaskan bahawa pengeluaran gula tersebut tidak boleh menggantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus).

“Kerajaan juga sudah memberi arahan kepada MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) pada kuantiti 42,000 tan metrik sebulan yang mencukupi untuk pasaran runcit.

“Ini bermaksud, masalah bekalan gula kepada rakyat tidak patut berlaku pada masa akan datang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Semalam beliau memaklumkan kerajaan meluluskan permohonan dua syarikat pengeluar gula tempatan bagi penjualan gula putih bertapis jernih.

Kerajaan menerima permohonan daripada dua syarikat tersebut untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih dengan harga tidak dikawal kerajaan, sebaliknya ditentukan oleh pasaran.

Salahuddin berkata, kerajaan bagaimanapun meminta kerjasama rakyat untuk membuat laporan jika berlaku masalah bekalan atau apa-apa perkara yang menyalahi undang-undang berkaitan gula.

Menurut beliau, laporan boleh dibuat menerusi saluran aduan rasmi WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000 atau portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my.

Tambah beliau, laporan boleh juga dibuat menerusi pusat panggilan 1-800-886-800, emel kepada [email protected], aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN atau Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-88826088/6245. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI