fbpx

Ops Tiris: KPDN Selangor selamatkan 25,000 diesel subsidi bernilai RM53,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barang rampasan yang disita KPDN Selangor dalam serbuan di sebuah stor sekitar Serdang.

SERDANG – Sejumlah 25,000 bahan api disyaki jenis diesel berjaya diselamatkan dalam serbuan yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor di sebuah premis di sini, pada pagi Selasa lalu.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, tindakan serbuan ke atas aktiviti berkenaan dibuat seawal pukul 5 pagi Selasa dan selesai sepenuhnya semalam.

Kata beliau, menerusi Ops Tiris, seramai tujuh anggota terlibat setelah asas tindakan ini adalah hasil risikan selama dua minggu oleh pasukan risikan serta turut mengambil kira maklumat daripada orang awam yang mencurigai aktiviti berkenaan.

“Berdasarkan hasil risikan, sebuah stor tanpa nombor dipercayai menjalankan aktiviti penyelewengan bahan api diesel bersubsidi.

“Semasa serbuan dilakukan, kita menemui dua lelaki tempatan sedang melakukan aktiviti pemindahan bahan api melibatkan sebuah lori tangki yang telah lengkap dengan hos penyambung dan bersedia untuk disedut keluar serta dimasukkan ke dalam tangki skid yang berada di dalam stor tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, dua individu yang berusia 52 dan 43 tahun berkenaan ditangkap bagi tujuan siasatan serta keperluan rakaman percakapan.

“Berdasarkan siasatan awal hasil daripada tindakan serbuan, dipercayai suspek mempunyai hubungan urus niaga jual dan beli bahan api yang dirampas di dalam kes ini.

“Sebuah lori tangki anggaran jumlah 11,000 liter, dua unit tangki skid dengan anggaran 10,000 liter dan 4,000 liter yang berisi diesel disita. Nilai sitaan melibatkan bahan api yang disita adalah melebihi RM53,000 dalam kes kali ini.

“Seterusnya, peralatan yang digunakan semasa aktiviti mengalih bahan api ditemui semasa serbuan. Anggaran nilai keseluruhan sitaan mencecah RM300,000,” jelasnya.

Zuhairi memberitahu kesemua barang rampasan kini disimpan dan dikawal rapi di bawah Stor
Penyimpanan Ekshibit KPDN Selangor manakala kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“KPDN Selangor akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi yang merupakan antara salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga,” tegasnya – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI