PETALING JAYA – Permainan kutu yang biasanya dimainkan oleh golongan wanita dan suri rumah kini semakin popular dalam kalangan generasi muda terutama mereka yang berkeinginan untuk mendapatkan barangan istimewa.
Tidak seperti dahulu apabila duit kutu dijadikan sebagai sumber pendapatan keluarga, generasi masa kini lebih tertarik untuk membelanjakan wang hasil daripada permainan kutu untuk membeli aksesori kereta, telefon bimbit, beg tangan berjenama dan barangan kemas.
Malah, ada sesetengah individu bergelar ‘ibu kutu’ atau ‘kepala kutu’ menjadikan media sosial sebagai platform untuk mempromosikan permainan.
Bagi penggemar modifikasi kereta, mereka merasakan main kutu adalah salah satu kaedah terbaik untuk menghias kenderaan masing-masing.
Lebih memudahkan mereka apabila tawaran permainan kutu itu dibuat sendiri oleh premis yang memiliki kedai aksesori dengan tawaran pembelian ‘sport rim’, kerusi serta ‘sunroof’.
Seorang kepala kutu yang juga pemilik kedai aksesori kenderaan dikenali Cik Dayah berkata, permainan kutu diperkenalkan oleh kedainya sendiri atas permintaan pelanggan mereka.
Dia yang tinggal di Teluk Intan, Perak berkata, pelanggan atau pemain kutu pula tidak perlu bimbang ditipu kerana barangan yang dikehendaki mereka memang sentiasa ada.
“Kami sebenarnya tawarkan macam-macam termasuk sunroof kereta, sistem audio, sport rim dan juga cip management kereta. Harga setiap barang ini memang tinggi dan ada yang boleh mencecah RM5,000.
“Jadi, kami bagi pilihan kepada pelanggan untuk menyertai kumpulan kutu dan setiap daripada mereka akan mendapat barangan yang diinginkan dalam tempoh 10 bulan.
“Bagaimanapun, kami tetap buat syarat iaitu mereka perlu menyerahkan salinan kad pengenalan, bil elektrik serta gambar kediaman bagi mengelak sebarang unsur penipuan,” katanya
Bagi seorang lagi kepala kutu dikenali sebagai Wilson Wong, 45, berkata, trend bermain kutu kini semakin berkembang dan bukan hanya untuk membeli emas dan barang elektrik.
Katanya, telefon bimbit adalah antara barangan yang paling diinginkan oleh orang ramai sehingga menyebabkan mereka berminat untuk bermain kutu.
“Saya kadangkala kesian dengan pelanggan, mereka ada minta untuk buat bayaran ansuran, tetapi saya fikir lebih baik main kutu dan kita tetapkan untuk 10 pemain.
“Mereka yang ingin memiliki telefon bimbit jenis Iphone hanya perlu menunggu giliran selama 10 bulan dan saya tetapkan bayaran RM250 sebulan,” katanya.
Katanya, antara syarat yang dikhaskan kepada pemain kutu adalah setiap pemain yang sudah memasuki list tidak boleh menarik diri kecuali ada pengganti.
“Bayaran juga tidak boleh lewat dan jika berlaku, mereka akan didenda RM20 sehari.
“Paling penting adalah perlu mengemukakan bukti pendapatan bulanan bagi mengelakkan sebarang penipuan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang ibu kutu dikenali Faridah, 41, berkata, permainan kutu turut popular dalam kalangan penjawat awam wanita yang ingin mengumpul koleksi barangan kemas.
“Sebelum ini, ramai yang bermain kutu untuk membeli koleksi pinggan mangkuk berjenama, tetapi sekarang beralih kepada barang kemas.
“Biasanya, setiap seorang akan mendapat habuan kutu berjumlah RM2,000 hanya dalam tempoh 10 bulan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
















