fbpx

Trend fesyen Y2K kembali popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FESYEN Y2K diinspirasikan daripada gaya pertengahan tahun 1990-an hingga awal 2000.

Gaya Y2K atau dikenali sebagai ‘fesyen millenium’ bukan satu fesyen baharu, sebaliknya ia telah wujud dan popular sejak lebih dua dekad lalu.

Ia diinspirasikan daripada gaya fesyen pertengahan tahun 1990-an sehingga awal 2000.

Fesyen berkenaan sering digayakan golongan selebriti seperti Paris Hilton, Lindsay Lohan dan Britney Spears.

Menariknya, kebanyakan majalah fesyen terkemuka dunia menyifatkan fesyen Y2K kini semakin popular dan menjadi trend 2023 sebagai gaya cukup jelas dan mudah diingati.
Warna-warna terang, seluar jean potongan low-rise serta kasut jenis tebal dan berat menjadi signatur gaya tersebut. Fesyen ini juga sinonim dengan jenama-jenama antarabangsa seperti Juicy Couture, Abercrombie & Fitch dan Ed Hardy.

Menurut seorang pereka fesyen dari Britain, Christian Cowan, ketika mula-mula diperkenalkan, gaya Y2K merupakan interpretasi pereka fesyen dan jenama-jenama fesyen antarabangsa terhadap gaya masa depan.

“Ketika itu, fesyen diibaratkan mempunyai jenakanya yang tersendiri.

“Gaya Y2K dicipta supaya pemakainya tampil sempurna dalam rona-rona yang cukup terang,” ujarnya.

Justeru, tidak hairanlah gaya ikonik tersebut kembali popular pada tahun ini, terutamanya rekaan seluar potongan besar, jaket berkilau dan baby tees.

Malah, selebriti yang dianggap sebagai ikon fesyen Y2K iaitu Paris Hilton juga baru-baru ini telah berkolaborasi dengan jenama pakaian Klarna.

Kerjasama tersebut bagi mengembalikan gaya Y2K menerusi kempen dipanggil ‘That’s Smooth’.

GAYA Y2K membuatkan seseorang itu tampl lebih ‘edgy’ dan moden serta tidak kelihatan keterlaluan.

Kempen berkenaan tertumpu kepada Laporan Trend Y2K Global rasmi yang dijalankan ke atas 1,000 responden.

Menurut laporan itu, seramai 65 peratus responden berpendapat, tahun 2000 merupakan jangka waktu yang dianggap lebih menarik dan cool berbanding tahun ini dan mereka amat merindui gaya fesyen ketika itu.

Awal tahun 2000 juga menyaksikan fenomena fesyen futuristik dengan kebanyakan pakaian dihasilkan dalam rona perak yang berkilau.

Ia diibaratkan sebagai cara terbaik untuk menjadikan sesuatu gaya tampil lebih menyerlah.

Bagi gaya Y2K baharu ini, padanan jaket bersama seluar rona perak metalik dengan aksesori warna-warna terang seperti merah jambu, ungu atau biru dilihat lebih dominan.

Hasilnya, gaya Y2K akan tampil lebih ‘edgy’ dan moden serta tidak kelihatan keterlaluan.

Bagi penggayaan aksesori pula, kaji selidik Klarna mendapati 22 peratus daripada pembeli jenama itu membeli getah rambut atau scrunchie yang popular sekitar tahun 2000.

Selain itu, klip rambut bermotif kupu-kupu kembali popular dan digayakan oleh remaja sebagai gaya harian.

Selain pakaian, alat solekan pada awal tahun 2000 turut menjadi kegilaan orang ramai ketika ini.

Antaranya seperti pengilat bibir tanpa warna, pembayang mata rona metalik, gincu bibir rona metalik, penggaris mata warna putih dan maskara warna-warni.

Malah, orang ramai mula mewarnakan kuku mereka dengan rona-rona terang bagi menghidupkan semula gaya Y2K yang penuh nostalgia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI