fbpx
WANITA bersama tiga anaknya kini tinggal dan menyewa sebuah bilik di Bera.

Hantar 3 anak ke balai polis sebab tak sanggup jaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERA – Luluh hati seorang ibu apabila mengetahui mengenai tindakan bekas suaminya yang didakwa tergamak meninggalkan dan menghantar tiga anak mereka yang masih kecil ke balai polis semata-mata tidak sanggup untuk menjaga mereka.

Kejadian berlaku pada Februa­ri lalu apabila tiga beradik ber­usia enam, tujuh dan 11 tahun itu ditinggalkan di rumah adik-beradik bapanya di Kuala Lumpur sebelum mereka dihantar ke sebuah ibu pejabat polis daerah di Pahang.

Wanita berusia 33 tahun yang enggan dikenali itu berkata, dia telah berpisah dengan suami­nya sejak 2019 dan kini memikul tanggungjawab besar untuk membesarkan seorang anak lelaki dan dua anak perempuan.

Katanya, nasib malang yang menimpa ketiga-tiga anaknya itu terbongkar selepas dia dihubu­ngi pihak polis untuk datang mengambil mereka.

“Dahulu, bekas suami yang jaga anak tetapi tidak lama selepas itu, suami sanggup tinggalkan mereka di balai polis atas alasan sudah tidak mampu untuk me­nyara mereka.

“Sedih, perit bila berlaku begini, hendak marah pun tak guna. Mereka adalah anak-anak saya dan saya akan cuba sebaik mungkin untuk membesarkan mereka dalam keadaan hidup yang ma­kin mencabar hari ini,” katanya.

Menurutnya lagi, pada masa ini dia hanya bergantung sepenuhnya kepada duit simpanan yang semakin menyusut selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, wang bantuan yang diterima itu digunakan bagi membayar sewa bilik sebanyak RM400 sebulan selain untuk menampung keperluan harian anak-anaknya.

“Dengan sewa bilik RM400 sebulan, saya kena cari kerja yang bersesuaian. Macam-macam kerja saya minta, tetapi masih belum dapat kerja tetap, sedangkan saya perlu menyara keperluan anak-anak.

“Di rumah ini ada beberapa keluarga dan orang bujang yang menyewa dan ada satu keluarga yang baik dengan saya dan anak-anak. Kami selalu berkongsi makanan sebab saling memahami kesusahan masing-masing.

“Kami pernah lalui hidup tanpa makanan dan keluarga berkenaan sanggup berkongsi dan ajak kami untuk makan bersama.

“Kalau mereka tahu saya tak makan lagi, mereka akan paksa saya makan sebab bimbang,” kata­nya.

Dalam pada itu katanya, pada masa ini dia telah mendaftarkan anaknya yang berusia tujuh dan 11 tahun di sebuah sekolah di Triang, manakala anaknya yang berumur enam tahun dijaga jiran sekiranya dia keluar mencari kerja.

Katanya lagi, memandangkan anaknya baru bertukar sekolah dari Selangor, mereka masih belum menerima sebarang bantuan di sekolah kerana proses permohonan memerlukan tempoh tertentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN