fbpx

Tunggu mangsa luar lif, samun RM6,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja barista berdepan detik cemas selepas disamun bersenjata seorang lelaki ketika hendak keluar daripada lif kediamannya di Pangsapuri Sentul Utara , di sini, kelmarin.

Wanita tempatan berusia 30 tahun itu turut diugut dengan sebilah pisau di perut dan mengalami kerugian sebanyak RM6,500 selepas disamun suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa kira-kira pukul 12.02 pagi, semalam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 10 malam apabila mangsa menaiki lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat lima bangunan tersebut.

“Ketika itu, terdapat seorang suspek bertopi keledar biru masuk ke dalam lif yang sama dengan mangsa dan keluar di tingkat empat.

“Setibanya mangsa di tingkat lima, ketika mangsa hendak keluar dari lif tiba-tiba muncul suspek di hadapannya yang keluar di tingkat empat sambil mengacukan pisau ke perut mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Sukarno, suspek meminta mangsa mengeluarkan semua barang yang ada antaranya telefon bimbit, kad bank dan dokumen peribadi yang dianggarkan bernilai RM6,500.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

“Pihak polis kini sedang giat mengesan dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya.

Jelas beliau, suspek dipercayai seorang lelaki berbangsa Melayu anggaran ketinggian 160 sentimeter (cm) dan berat anggaran 70 kilogram (kg).

Tambah Ahmad Sukarno, suspek disyaki melarikan diri menaiki sebuah motosikal yang tidak dapat dipastikan jenisnya dan ketika kejadian suspek memakai baju serta seluar hujan berwarna hitam bergaris biru pada baju.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan identiti suspek boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI