fbpx

Sedia infrastruktur moden, berteknologi kepada warga universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Permaisuri Norashikin ketika menyampaikan titah pada istiadat konvokesyen UiTM, hari ini. Foto oleh Saddam Yusoff/KOSMO!

SHAH ALAM – Universiti seluruh negara perlu menyediakan infrastruktur pembelajaran moden dan berteknologi tinggi dalam melatih serta mendidik warganya agar lebih kompetitif di peringkat global.

Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, kualiti pengajaran dan pembelajaran di universiti perlu dipertingkatkan untuk memastikan staf dan pelajar mempunyai kepakaran yang cukup dan mempunyai akses kepada sumber pembelajaran terkini.

Baginda menegaskan, langkah itu bagi memastikan bahawa pelajar diberikan sokongan untuk memahami kandungan pengajaran dengan baik.

“Dengan lambakan maklumat pada hari ini dari pelbagai saluran media amat memerlukan kemampuan dan kemahiran menganalisis data dengan menggunakan aplikasi.

“Selain itu, sebarang tindakan dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah yang merupakan ‘sharp skills’ yang perlu dikuasai warga universiti,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-96 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, kurikulum UiTM harus digubal selaras dengan keadaan serta permintaan semasa dan ia perlu datang daripada pemegang taruh dalam konteks bagi meningkatkan ketampakan modal insan negara.

Justeru, baginda menjelaskan UiTM harus menyediakan kursus-kursus bertaraf antarabangsa dan mendapat pengiktirafan di peringkat di global agar mampu menyelesaikan isu dalam pelbagai perspektif.

Secara keseluruhan, program pengajian UiTM yang mendapat akreditasi penuh dan disenaraikan didaftar kelayakan Malaysia hingga Disember 2022 meningkat kepada 522 program.

“Manakala, yang mendapat pengiktirafan daripada badan profesional dan antarabangsa meningkat kepada 120 program.

“Program-program berkualiti amat penting dalam memastikan peningkatan kemahiran bumiputera profesional di negara ini,” titah baginda.

Konvokesyen UiTM ke-96 akan melibatkan seramai 24,713 graduan bagi ijazah sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil profesional dalam bidang masing-masing bermula hari ini hingga 13 Jun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI