KERJA keras penyanyi dan pelakon Nabila Razali hampir 10 tahun dalam dunia seni membuahkan hasil apabila berjaya mencapai impiannya membeli sebuah rumah pertama.
Biarpun terpaksa mengeluarkan wang simpanan dalam jumlah yang besar, pelantun lagu Peluang Kedua itu yakin perbelanjaan yang dilakukan itu satu pelaburan untuk masa depannya.
Memilih lokasi tidak jauh daripada kediaman keluarganya di Selayang, Kuala Lumpur Nabila mengakui kini siap untuk belajar berdikari pada usia mencecah 31 tahun.
“Ibu saya seorang yang tegas dari segi pengurusan kewangan. Sejak kecil dia sudah mengajar kami adik- beradik menyimpan duit dan membeli rumah sendiri.
“Bila sudah dewasa dan bekerja, dia akan meminta kami masing-masing membeli rumah pertama mengikut kemampuan.
“Saya pun makin berusia takkan nak duduk dengan keluarga lagi, ibu juga minta saya keluar rumah dan belajar hidup sendiri,” ujarnya.
Sifu hartanah
Ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang juga sesi ‘pemanas’ memasuki rumah baharu, Nabila bersyukur urusan pembelian sebuah rumah yang dianggap syurga kecil itu berjalan lancar biarpun mengambil masa agak lama.

Katanya, proses mencari rumah idaman bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan banyak aspek diambil kira.
“Proses pembelian itu panjang. Semasa saya berfikir sudah sampai masa untuk membeli, saya bertemu dengan seorang penganalisis hartanah, Ahyat Ishak.
“Dia banyak memberi tunjuk ajar dan mencadangkan rumah ini sebagai kediaman paling sesuai untuk dibeli.
“Dia juga beri nasihat dan permudahkan cara penyediaan dokumen-dokumen yang perlu sebagai persediaan.
“Alhamdulillah, selepas tiga tahun dapat juga saya masuk dan menduduki rumah ini.
“Banyak juga cabaran nak tunggu rumah ini betul-betul siap kerana ketika itu pula dunia dilanda Covid-19, semua aktiviti pembinaan juga terhenti sebab itu lambat sedikit siap,” ujarnya.
Ilmu seni bina
Selama tempoh enam bulan menduduki kediaman teres berkembar di Rawang, Selangor tersebut, Nabila juga gembira dapat mengubah suai kediamaannya mengikut cita rasa sendiri.

Graduan seni bina, Universiti Sains Malaysia (USM) itu puas hati dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari mencantikkan rumah sendiri.
“Konsep dekorasi rumah ini hasil idea bersama pereka dalaman yang merealisasikan impian saya. Sekurang-kurangnya berguna juga ilmu seni bina yang saya belajar di universiti dahulu.
“Bagi ubah suai dalaman ini saya tidak berbelanja terlalu besar. Hanya kawasan yang penting sahaja seperti ruang tamu dan tempat makan,” ujarnya.
Nabila juga berhasrat mahu membawa keluarga tinggal bersama suatu hari nanti.
“Rumah ibu bapa saya tidak jauh hanya lima minit sahaja dari sini, mereka pun selalu datang dan tidur sini.
“Saya memang ajak mereka pindah ke sini tapi ibu dan ayah selesa tinggal di rumah mereka.
“Ibu juga mahu saya hidup sendiri tanpa bergantung kepada mereka lagi,” ujarnya.
Rumah diserbu
Berkongsi aktiviti Syawal, Nabila berkata, dia meluangkan lebih seminggu beraya bersama keluarga di kampung halamannya di Melaka.
Katanya, kediaman keluarganya yang terletak di Pulau Sebang menerima kunjungan ramai saudara-mara, termasuk peminat.
“Raya kali ini saya bercuti panjang lebih seminggu juga. Kami sekeluarga beraya di Melaka dan setiap hari pasti ada sahaja tetamu yang datang.
“Ibu saya sudah sediakan khemah di luar dan setiap hari kami masak banyak lauk-pauk untuk tetamu yang tidak dijangka.
“Malah ada peminat sanggup masuk satu lorong ke satu lorong untuk mencari rumah saya, tidak sangka juga mereka jumpa!” ujarnya menutup bicara.
















