fbpx

Nak lapor polis? saya tiada masalah – Scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chou (kiri), Michael Chong (kanan) ketika sidang akhbar di Wisma MCA, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – “Awak nak buat laporan polis? pergilah buat laporan, (saya) tiada masalah”.

Demikian respons scammer yang menyamar sebagai pegawai bank selepas diminta untuk memulangkan wang milik ahli perniagaan berjumlah RM7,241 yang ditipu sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Chou, 37, berkata, pada 10 Mei lalu, dia hadir ke sebuah bank di Setapak di sini untuk memohon pinjaman peribadi sebanyak RM70,000.

Selepas dua hari, lelaki itu menerima kiriman WhatsApp daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank yang ditugaskan untuk membantunya meluluskan proses pinjaman.

“Saya berikan semua butiran yang diminta seperti salinan kad pengenalan, maklumat perbankan, perincian cukai pendapatan dan mengisi borang pinjaman yang diberikan.

“Dia turut menunjukkan kad perniagaannya bagi mengesahkan identitinya,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Jelas Chou, pada Isnin lepas, seorang lelaki mendakwa dirinya pegawai bank memaklumkan wang RM70,000 diterima masih ‘floating’ (terapung) dan perlu membuat beberapa pembayaran untuk tujuan kelulusan.

Chou secara tidak langsung membuat pembayaran sebanyak RM7,241 ke dalam empat akaun bank.

Dia mula menyedari ditipu apabila suspek meminta untuk membuat lagi pindahan wang.

“Berpuluh kali saya cuba menghubunginya (suspek), tetapi talian dimatikan, saya cuma menghantar kiriman WhatsApps.

“Saya minta mereka untuk memulangkan separuh duit saya tetapi permintaan ditolak, saya terpaksa meminjam untuk bayar wang tersebut, tapi mereka langsung tiada simpati,” katanya.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan (PSCD) MCA, Datuk Seri Michael Chong memaklumkan ini bukan kali pertama scammer menggunakan taktik ‘floating’ duit di bank mangsa.

Tambah beliau, wakil daripada bank tidak akan meminta untuk memasukkan duit ke dalam beberapa akaun bank apatah lagi pemilik yang berbeza.

“Ini taktik kotor scammer yang berlakon sebagai pegawai bank. Mereka selalunya suruh kita masukkan duit dalam berlainan akaun bank dan secara rasionalnya mengapa kita perlu bayar kepada bank sedangkan kita yang sepatutnya menerima wang.

“Bagi kes ini, tiada bank yang boleh luluskan pinjaman peribadi sebanyak RM70,000 dalam masa dua hari, selalunya ambil masa berbulan,” katanya.

Justeru itu, Michael Chong meminta pihak polis menyiasat bagaimana permohonan pinjaman peribadi mangsa di sebuah bank diketahui oleh scammer sehingga berlaku kerugian seperti ini. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI