fbpx
KOS penjagaan haiwan seperti makanan meningkat menyebabkan harga lembu korban naik pada tahun ini.

Lembu korban cecah RM1,100 satu bahagian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Umat Islam yang berhasrat untuk menyertai ibadah korban pada tahun ini perlu mengeluarkan belanja lebih ekoran kenaikan harga haiwan ternakan mencecah sehingga RM1,100 untuk satu bahagian.

Kenaikan sehingga 25 peratus itu didorong oleh pelbagai faktor seperti peningkatan kos operasi dan penjagaan rapi haiwan ekoran cuaca panas ketika ini.
Pada tahun lalu, harga lembu korban di kebanyakan tempat adalah antara RM750 hingga RM850 untuk satu bahagian.

Di Kuala Nerus, Terengganu, penternak, Abd. Mutalib Dzulkifli, 36, berkata, kenaikan harga lembu pada tahun ini tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos operasi termasuk makanan haiwan.

“Kos makanan dan ubat-ubatan naik menyebabkan harga lembu saiz sederhana mencecah RM6,000 hingga RM6,500 seekor.

Ahmad Azlan melihat lembu ternakannya yang akan disembelih untuk dijadikan haiwan korban ketika ditemui di kandangnya di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus.

“Pada tahun lepas, seekor lembu masih boleh diperoleh pada harga RM4,500 atau RM5,000, tetapi tahun ini kami sudah tidak mampu lagi untuk menampung kos operasi.

“Ditambah pula dengan cuaca panas, haiwan ruminan ini perlu dijaga rapi bagi mengelak penyakit kuku dan mulut yang akhirnya (jika dijangkiti) akan merugikan penternak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Bukit Tok Beng, Seberang Takir, Syed Abd. Hamid Syed Ali berkata, pembekal menaik­kan harga lembu korban menyebabkan pihaknya tiada pilihan lain apabila menetapkan harga RM1,100 untuk satu bahagian.

Kos yang dikenakan itu adalah termasuk upah sembelih dan melapah haiwan.

HARGA yang dikenakan adalah termasuk kos penyembelihan dan melapah haiwan.

Di Pontian, Johor, Pengerusi Persatuan Penternak Lembu dan Kambing Negeri Johor, Abd Samad Samiran mengakui berlaku kenaikan harga haiwan korban di negeri ini tahun ini.

Menurutnya, harga seekor lembu korban di Johor tahun ini mencecah sehingga RM6,000 berbanding RM4,500 pada tahun lepas.

Penternak, Aliffi Abu Khairi, 33, pula memaklumkan, harga seekor lembu untuk tujuan ibadah korban tahun ini adalah RM5,000 ke atas.

“Sebelum ini lembu boleh didapati pada harga RM4,500 hingga RM4,700 seekor, tetapi pada tahun ini penternak sudah tidak mampu lagi untuk menampung kos ke­naikan harga makanan lembu yang semakin tinggi ketika ini.

“Biasanya mereka (pembeli) memahami jika kami memberi penerangan tentang punca kenaikan harga lembu korban tahun ini,” katanya.

Di Bangi, Selangor, Pengerusi Surau Al-Amin Seksyen 8, Abu Hassan Burok, 65, berkata, terdapat beberapa jenis lembu yang akan dikorbankan pada tahun ini dan harganya pula mencecah sehingga RM18,000 bergantung kepada saiz haiwan.

“Harga seekor lembu untuk tahun ini bermula RM6,000 sehingga RM18,000 seekor mengikut saiz. Kebanyakan lembu korban ini diimport oleh pihak ketiga dari luar negara iaitu Kemboja atau Thailland,” katanya.

Tambah Abu Hassan, orang tengah memberi alasan kenaikan harga lembu adalah di­sebabkan kos yang semakin meningkat.

“Semua harga barang naik, kos operasi juga naik lebih-lebih lagi apabila melibatkan urusan ­eksport,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN