fbpx

Zaid Ibrahim cadang Pas sokong Anwar, masuk Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar satu hantaran klip video Zaid di Facebook beliau yang mencadangkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memberi cadangannya agar Pas menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan bagi memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulihkan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Zaid melalui satu hantaran di Facebooknya berkata, walaupun tidak semua bersedia ke arah itu, sekurang-kurangnya sebahagian daripada mereka pun sudah lebih daripada mencukupi.

Beliau turut mencadangkan agar Perdana Menteri itu berjumpa dengan pemimpin Pas untuk memujuk mereka menyertai gabungan kerajaan perpaduan.

“Semalam saya cadangkan Pas beri sokongan kepada Anwar, malah saya cadangkan Anwar jumpalah pemimpin Pas.

“Kalau tak semua mereka bersedia, ada juga dalam kalangan mereka yang memikirkan kestabilan politik dan perlunya negara ini dipimpin oleh Anwar untuk tempoh lima atau 10 tahun lagi.

“Anwar memang tak boleh berpuas hati dengan sokongan UMNO dan Parti Amanah sahaja. Ajak Pas bergabung juga akan menguatkan lagi kepimpinan perpaduan,” katanya hari ini.

Tambah Zaid lagi, Anwar perlu mengambil kira faktor kepimpinan orang Melayu Islam adalah elemen paling penting kalau beliau mahu memerintah untuk tempoh lebih lama.

Katanya, di Malaysia ini banyak unsur agama dimain dan dijadikan fitnah sehingga isu ekstrem turut ditimbulkan kononnya Islam menuntut perkara itu.

“Anwar dan Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai masa untuk melaksanakan perubahan, kalau selalu berdepan dengan fitnah dan isu remeh yang diperbesarkan.

“Untuk berubah, Anwar perlu pastikan dia mendapat sokongan daripada Pas. Kerana untuk buat perubahan ia mencakupi pendidikan, budaya dan sebagai. Jadi, mana Perdana Menteri ada masa.

“Dalam keadaan beginilah, saya kata lebih baik beliau membawa masuk pemimpin Pas supaya mereka faham isu tertentu dan bila mereka ada dalam kerajaan mereka tidak akan ekstrem, tidak akan menggunakan fitnah dan sebagainya,” jelasnya.

Malah katanya, jika Pas dan Perikatan Nasional (PN) menang besar dalam PRN ini, ia akan menimbulkan ketegangan politik, manakala fitnah akan bertambah dan menyaksikan pelbagai tuntutan yang tidak munasabah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI