PETALING JAYA – Harga emas yang semakin melonjak naik di pasaran jelas memberi impak besar kepada kedai-kedai emas, namun dari sudut lain ia dilihat sebagai peluang terbaik bagi pengumpul emas untuk menjual balik emas mereka.
Tinjauan Kosmo! di beberapa kedai emas sekitar Lembah Klang mendapati rata-rata kedai emas mengalami kekurangan pembeli susulan harga emas yang semakin mahal sejak sebelum Aidilfitri.
Pengurus Kedai Emas Harga Lelong, Nik Nor Suhaimi berkata, jualan emas di kedainya semakin merudum sejak harga sumber mineral berkenaan meningkat mendadak hujung Ramadan lalu.
Katanya, harga pasaran emas 916 hari ini bernilai RM265 per gram (g), jualan balik RM253 per gram dan ‘trade in’ dengan harga RM265 per gram.
“Saya anggarkan dua lagi cawangan kami di Bangi dan Banting pun mengalami keadaan yang sama, namun kami juga faham orang ramai baru sahaja menyambut hari raya dan sekolah pun dah mula dibuka.
“Ketika ini memang ramai pelanggan yang bertindak menjual balik emas mereka atas faktor-faktor yang tidak mampu dielak seperti mengalami kesempitan wang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Perunding Emas Kedai Emas Siti Jewels, Dalila Amir juga berkata, kedai mereka turut berdepan situasi sama seperti yang dialami premis lain.
“Kalau sebelum raya, kami masih terima ramai pembeli meskipun harga emas ketika itu sudah mencecah RM280. Mungkin disebabkan raya masing-masing membeli barangan perhiasan untuk bergaya apabila pulang ke kampung halaman.
“Kami masih menerima pembeli, namun tidak ramai seperti sebelumnya. Namun untuk ‘buy back’ memang ramai kami terima dan selalu ada pelanggan yang datang menjual balik emas mereka kepada kami,” katanya.
Sementara itu, Perunding Emas Khalifah Jewels, Farah Abdollah berkata, pihaknya menganggarkan hanya menerima lima daripada 10 pembeli sejak harga emas melonjak naik.
“Selebihnya, pelanggan datang menjual balik emas mereka. Kedai kami cuba kekalkan harga RM285 per gram walaupun ada naik turun harga pasaran. Ia juga bertujuan menarik minat pelanggan membeli pada waktu sebegini.
“Kami dapat lihat perubahan drastik pelanggan yang datang. Walaupun jumlah pelanggan yang membeli emas berkurang, kami tetap terima jika mereka memilih untuk menjual semula emas mereka,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














