MENEMUKAN satu kecintaan baharu yang sedang bugar dalam jiwa, si cantik Hawa Rizwana juga kian mekar seiring usia. Mengawali karier selaku wartawan penyiaran, Hawa kini seronok bergelar pelakon.
Sekitar dua tahun lalu, penulis pernah mengusik si cantik Hawa Rizwana ini tentang kesediaannya terjun berkecimpung mencuba nasib dalam bidang lakonan.
Hawa yang pada waktu tersebut sedang memekarkan karier pengacaraan mengakui seboleh-bolehnya akan cuba menolak tawaran lakonan. Alasannya, dia tidak memiliki bakat dalam bidang tersebut.
Jauh di sudut hati, personaliti berusia 28 tahun itu bagaimanapun ada memendam secubit keinginan untuk mencuba melakukan sesuatu sebagai cabar buat diri sendiri.
Tahun ini, impian kecilnya itu terlaksana. Selepas dilamar pengarah dan produser drama terkenal, Michael Ang untuk membintangi sebuah drama bersama Zizan Razak berjudul Raya, Hawa akhirnya terbuka pintu hati untuk beraksi sebagai pelakon.
Ibarat jatuh cinta pandang pertama, wanita yang selalu dilabel ‘kembar Neelofa’ itu mengakui lakonan satu bidang yang menyeronokkan.

Keyakinan
Dia bahkan bersyukur diberikan peluang dan kepercayaan untuk beraksi di hadapan kamera, bukan sebagai pengacara, sebaliknya sebagai seorang pelakon.
“Alhamdulillah tanpa sengaja itu rezeki saya sekarang (lakonan). Tak pernah pun saya bermimpi atau merancang untuk menjadi seorang pelakon.
“Tapi sebab sudah diberi tawaran untuk berlakon, saya cubalah. Tapi selepas diberikan peluang, saya akui, rupa-rupanya memang seronok berlakon,” ujarnya.
Akui wanita genit itu lagi, sebelum Raya arahan Michael Ang, dia menolak tawaran lakonan kerana tidak yakin dengan kemampuan diri, selain kerjayanya sebagai pembaca berita menyekat peluang untuk menumpahkan komitmen dalam dunia lakonan.
“Selepas saya masuk dalam dunia hiburan sebagai pengacara, barulah saya berani ‘kaut’ peluang itu.
“Peluang saya sekarang lebih terbuka untuk cuba pelbagai bidang. Saya bebas untuk bekerja di mana-mana tanpa sekatan,” jelasnya.
Selepas membabitkan diri dalam dunia lakonan, Hawa juga sama seperti segelintir pelakon wanita lain apabila tidak ‘kering’ daripada terjebak sensasi membabitkan lelaki.
Ketika bergandingan bersama Zizan Razak, timbul cakap-cakap bahawa kedua-dua mereka sedang mengenali hati budi.
Di sana-sini tersebar gosip kononnya Hawa dan Zizan sedang dilamun cinta gara-gara tersebar beberapa foto kemesraan mereka di lokasi penggambaran.

Gosip
Akur gosip satu ‘anasir’ yang paling ditakuti, Hawa tidak boleh mengelak daripada berdepan ‘adat’ dunia hiburan tersebut.
“Selepas saya ambil keputusan untuk terbabit dalam dunia hiburan, saya memang tidak boleh lari daripada gosip.
“Secara mental, insya-Allah saya boleh berdepan sebarang gosip dengan tenang. Ibu dan bapa saya pun sudah berpesan, kena pandai bawa diri. Selagi saya tahu jaga batas, semuanya akan baik-baik,” katanya.
Ketika disoal pandangannya tentang Zizan, Hawa menyifatkan pelakon berusia 39 tahun itu sangat baik hati dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu.
“Siapa yang tidak kenal Zizan Razak. Saya sudah anggap dia sebagai abang. Kalau tanya saya tentang Zizan, dia merupakan ‘hero’ pertama saya dalam bidang lakonan.
“Dari segi keserasian, saya memang tiada masalah dengannya. Kami boleh bekerjasama. Apa yang seronoknya, Zizan tidak lokek ilmu dan sangat baik orangnya,” puji Hawa.

Sisa rindu
Seronok menerokai warna baharu dunia hiburan, sebetulnya masih berbaki ruang rindu di hati Hawa terhadap dunia kewartawanan dan penyiaran yang menjadi kecintaan pertamanya selama ini.
Berbekalkan pengalamannya sejak 2016 sebagai pembaca berita, wanita kelahiran Illinois, Amerika Syarikat (AS) itu sempat berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan sewaktu meniti karier dalam dunia penyiaran.
“Antara pengalaman yang saya tidak boleh lupakan adalah kejadian Roslan Shah tiba-tiba rebah dan pengsan akibat darah tinggi sewaktu saya mengacarakan program Wanita Hari Ini pada tahun lalu.
“Keadaan memang panik, pengacara perlu profesional dan bijak mengawal situasi.
“Macam-macam situasi tidak terduga boleh terjadi sewaktu mengacarakan program secara langsung (live),” tutupnya.















