fbpx

Gelombang Juicy Luicy singgah ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUICY LUICY bakal menghiburkan peminatnya di Malaysia pada 25 Jun 2023 di Zepp, Kuala Lumpur.

MUNCUL lebih sedekad lalu dengan jalur muzik jazz bersulam nuansa elektrik memberikan satu kelebihan buat kumpulan asal Bandung, Indonesia itu untuk dilihat mempunyai karakter tersendiri.

Jika selama ini dinikmati secara dalam talian buat peminat di Malaysia, Juicy Luicy membawa khabar gembira apabila mengadakan konsert sulung mereka di Zepp Kuala Lumpur menjelang 25 Jun depan.

Ditubuhkan pada 2012 dengan single pertama Aku Cinta Dia Yang Cinta Pacarnya, Juicy Luicy dianggotai Julian Kaisar di posisi vokal, Denis Ligia (gitar), Zamzam YM (saxophone), Dwi Nugroho (drums), dan Bina Bagja (bass).

“Perbincangan pemilihan lagu yang bakal dipersembahkan, senarai lagu-lagu hit kami khas untuk peminat di Malaysia dengan susunan muzik secara langsung yang sesuai untuk peminat menyanyi bersama sama kami.

“Kami akan menyampaikan rangkaian lagu-lagu hit seperti Jangan Tergesa, Lantas, Tampar, Mawar Jingga, Terlalu Tinggi dan lain-lain lagi, khusus buat mengubat kerinduan peminat setianya di sini,” ujarnya.

Juicy Luicy turut mengalu-alukan peminat meninggalkan komen dalam laman Instagram @miebirdprojects jika ada peminat yang inginkan lagu tertentu dimainkan menjelang konsert.

JUICY LUICY bakal mendendangkan rangkaian lagu-lagu popular mereka seperti Jangan Tergesa, Lantas, Tampar, Mawar Jingga dan Terlalu Tinggi.

Gitaris Juicy Luicy, Denis Ligia pula berkata, mereka sudah lama menanti peluang untuk menghiburkan peminat dan penyokong kuat mereka di Malaysia sejak awal penubuhan Juicy Luicy, selain percaya untuk terus berkarya dan menghasilkan karya yang jujur buat peminat.

“Karya yang jujur perlu lahir dari hati. Kami akui persaingan dari kumpulan lain cukup besar di Indonesia tetapi setiap kumpulan ada kelebihan dan tarikan tersendiri dan peminat pun ada band kegemaran mereka.

“Kalau bukan berkat kamu semua (peminat), tidak mungkin kami akan membuat persembahan di sini.

“Tentunya ini sangat membahagiakan bagi kami. Ini antara matlamat perjuangan Juicy Luicy iaitu bisa bermain di luar negeri dan itu akhirnya bisa terwujud.

“Kami pasti akan lebih bersemangat untuk terus berkarya dan menghibur fans di Malaysia,” jelasnya.

Kedatangan kumpulan pemuzik tersebut ke Kuala Lumpur tahun ini dijangka membangkitkan satu gelombang muzik yang pasti menarik ramai para pendengar dan peminat mereka di Malaysia.

Tiket-tiket konsert yang diberi judul Juicy Luicy Sentimental Live in Kuala Lumpur boleh didapati didapati menerusi laman web www.ilassotickets.com dengan harga RM145 kategori Free Standing, RM245 (Premium Seat), RM195 (Normal Seat) dan VIP BOX RM365 serta RM115 untuk sesi ramah mesra.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI