fbpx

BDB dapat kontrak penyelenggaraan jalan RM204 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan BDB, Mohd. Sobri Hussein (dua dari kiri) menerima Surat Setuju Terima Kontrak Penyelenggaraan daripada Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Isahak Murat.

PETALING JAYA – Bina Darulaman Berhad (BDB) semalam mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, BDB Infra Sdn. Bhd. (BDB Infra) telah dianugerahkan kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri bernilai RM204 juta daripada Kerajaan Negeri Kedah.

Projek penyelenggaraan tersebut adalah untuk tempoh 36 bulan bermula 15 Mei 2023 sehingga 14 Mei 2026, melibatkan zon 1 iaitu daerah Kota Setar, Padang Terap/Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Yan dan Sik.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, ia merupakan pengiktirafan kepada Kumpulan BDB dan BDB Infra di atas pencapaian dan rekod kerja baik yang telah dilaksanakan sepanjang projek-projek penyelenggaraan yang diterima sebelum ini.

“Alhamdulillah, ia menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah yakin dengan kemampuan yang dimiliki oleh Kumpulan BDB dan kami akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang besar ini dengan sebaik mungkin.

“Penganugerahan projek ini juga dijangka akan turut memberi impak yang positif kepada pendapatan sesaham syarikat untuk tempoh kewangan 2023 hingga 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

BDB Infra merupakan kontraktor Gred G7 yang mempunyai pengalaman dan rekod kerja yang cemerlang selama lebih 50 tahun dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya serta kuari di utara tanah air.

BDB Infra pada 2020 telah dianugerahkan kontrak selama tiga tahun daripada Kerajaan Negeri Kedah bagi tujuan penyelenggaraan jalan di beberapa daerah di negeri berkenaan iaitu di Kota Setar, Padang Terap/Pokok Sena, Kuala Muda, Sik, Kubang Pasu, Kulim/Bandar Baharu, Pendang, Yan, dan Baling. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI