fbpx

Penandaan sempadan antara Malaysia, Brunei diharap ada kemajuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika bertemu Sultan Hassanal Bolkiah sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 2023 di Labuan Bajo, Indonesia hari ini. - IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI

PUTRAJAYA – Malaysia melahirkan harapan agar usaha ukur dan penandaan sempadan tanah bersama Brunei yang dijalankan dapat mencapai kemajuan lebih besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perkara itu ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 2023 yang diadakan di Labuan Bajo, Indonesia.

Katanya, Malaysia juga berharap agar dapat menandatangani memorandum (MoU) persefahaman berkaitan semasa Annual Leaders’ Consultation (ALC) yang akan diadakan hujung tahun ini.

“Kami berharap dapat menandatangani MoU berkaitan semasa ALC akhir tahun ini untuk 79.2 kilometer yang telah ditinjau dan ditandakan oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama mengenai Sempadan Tanah,” katanya hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga turut menantikan kehadiran Sultan Hassanal Bolkiah ketika penganjuran ALC yang akan diadakan di Malaysia.

“Berkaitan pelaburan pula, pada 1 Mac lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA telah mengetuai lawatan kerja ke Brunei untuk mengadakan mesyuarat susulan dengan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

“MIDA membentangkan sembilan projek berpotensi dalam bidang minyak dan gas hiliran, pembuatan pintar, pertanian pintar, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan, industri pelancongan serta makanan (halal) selain ekonomi digital untuk pertimbangan BIA.

“Kita juga mahu meningkatkan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan pendidikan di mana institusi seperti universiti boleh bersama-sama menggarap budaya Melayu dan Islam yang dikongsi oleh kedua-dua negara,” jelasnya.

Selain itu, Anwar turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dengan menyifatkan Malaysia mempunyai kedudukan kukuh dalam sektor perbankan di negara itu.

Katanya, antara bank terlibat termasuklah Public Bank, Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank.

“Selain itu, melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) pula, kita melatih lebih 1,600 pegawai dan diplomat Laos menerusi bidang pengurusan bencana, percukaian, pensijilan halal, antiterorisme, keselamatan pekerjaan dan diplomasi.

“Malaysia juga ingin mengeksport lebih banyak buah-buahan tropika, sayur-sayuran dan makanan diproses daripada industri asas tani.

“Kita juga berharap untuk memuktamadkan pembaharuan MOU mengenai pendidikan tinggi. Pada masa ini, seramai 75 pelajar Laos berada di Malaysia,” katanya.

Pada program sama, Anwar turut mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI