fbpx

Sah! Coldplay ‘gegar’ Kuala Lumpur 22 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
COLDPLAY akan mengadakan persembahan berskala besar buat pertama kali di Kuala Lumpur pada 22 November 2023.

PETALING JAYA – Konsert sulung kumpulan muzik popular dunia Coldplay di Malaysia dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November 2023.

Konsert anjuran PR Worldwide dengan kerjasama Live Nation tersebut akan berlangsung di lokasi ikonik negara, Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kumpulan Coldplay yang dibarisi Chris Martin, Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion terkenal dengan lagu-lagu malar segar mereka seperti Fix You, Viva La Vida dan banyak lagi.

Konsert terbabit juga merupakan sebahagian daripada siri jelajah kumpulan muzik popular itu mengelilingi dunia.

Siri jelajah kumpulan Coldplay telah bermula sejak Mac tahun lalu lagi  dan bahkan kumpulan itu telah merekod sejarah menjadi antara artis yang menjual tiket terbanyak atau terlaris dunia.

Tiket konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour akan mula dijual bermula 17 Mei ini menerusi Live Nation Malaysia sekali gus menjawab teka-teki peminatnya yang sudah lama menunggu tarikh keramat tersebut.

Lebih menarik, CIMB Bank selaku penaja utama konsert ini di Kuala Lumpur memberi keistimewaan kepada pemegang kad bank CIMB.  Mereka akan mendapat akses secara eksklusif atau ‘jalan pintas’ untuk membeli tiket lebih awal iaitu pra jualan tiket pada 16 Mei 2023 seawal pukul 10 pagi lagi.

Dalam pada itu, media sosial kini dibanjiri dengan ekspresi keterujaan peminat kumpulan muzik itu yang sudah lama menunggu kedatangan Coldplay di Kuala Lumpur buat julung kalinya.

“Akhirnya setelah sekian lama menunggu, ayuh ramai-ramai ke Stadium Bukit Jalil!,” komen seorang peminat.

“Tak sabarnya nak berkonsert dengan Coldplay, dah lama tunggu mereka datang Malaysia, dulu sampai ke London kejar demi konsert mereka,” komen seorang lagi peminat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI