fbpx

Menteri Kerja Raya kecewa kualiti jalan di Johor Bahru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALEXANDER (tengah) meninjau keadaan jalan raya yang kurang memuaskan di sekitar bandar raya Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meluahkan perasaan dukacita dengan kualiti beberapa jalan raya di sekitar bandar raya ini.

Sehubungan itu katanya, beliau telah memanggil Jurutera Daerah Johor Bahru bagi menjelaskan keadaan jalan dan inisiatif (Jabatan Kerja Raya) Johor Bahru dalam menyelesaikan masalah tersebut.

“Sebentar tadi, saya turun melihat sendiri keadaan jalan raya di beberapa kawasan di bandar Johor Bahru yang kerap diadu kepada kami di kementerian. Antaranya di kawasan Jalan Tebrau di hadapan Hotel Crystal Crown; Jalan Persimpangan Kampung Dato’ Sulaiman dan Persimpangan Kampung Majidee.

“Memang agak mendukacitakan keadaan jalan di sini. Benarlah seperti yang diadukan oleh pengguna jalan raya.

“Sehubungan itu, saya mahu ada tindakan berkesan diambil dalam masa terdekat, bukan lagi membiarkan pengguna terus menerus terpaksa bersabar dengan keadaan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Alexander, antara aduan utama diterima pihaknya adalah melibatkan isu penyelenggaraan yang tidak memuaskan.

“Baik aduan rasmi ataupun melalui media sosial, isu ini berterusan menimbulkan keresahan dan kemarahan di kalangan rakyat. Saya juga seorang pengguna jalan raya, jadi saya memahami situasi ini,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya mahu melihat perubahan dalam cara semua pihak melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan jalan yang kerap dilaporkan rosak di bandar raya ini.

“Saya berharap semua yang terlibat dalam memastikan keadaan jalan raya di dalam keadaan baik sama ada daripada kakitangan kementerian, JKR, agensi mahupun syarikat konsesi yang dilantik untuk menyelenggara, mengambil tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan berintegriti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI