fbpx

Tunggang motosikal lebih 30km cari hasil hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Inilah Kampung Orang Asli Ulu Batu di Batu Caves, Gombak yang terletak kira-kira 300 meter dari projek pembangunan sistem pengangkutan.

GOMBAK – Penghuni di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Batu Caves di sini, terpaksa menempuh perjalanan lebih 30 kilo­meter (km) dengan menunggang motosikal untuk mencari hasil hutan apabila tanaman berdekatan penempatan mereka hampir musnah.

Ia ekoran sebahagian kawasan Hutan Lipur Sungai Tua di Taman Warisan Negeri Selangor, di sini, yang terletak berhampiran perkampungan itu semakin gondol akibat ditarah bagi memberi laluan kepada satu projek pembinaan sistem pengangkutan.

Dari jalan utama, kebanyakan pengguna hanya melihat jentera berat dan pekerja-pekerja keluar masuk ke tapak pembinaan itu, namun hakikatnya di bahagian ‘dalam’, sebahagian kawasan tersebut telah pun ‘botak’ berbanding sebelum ini.

Tok Batin, Mat Deli Moh, 58, berkata, projek yang dijangka siap pada tahun 2026 itu secara tidak langsung memberi kesan kepada 180 orang masyarakat Orang Asli yang menetap kira-kira 300 meter dari kawasan terbabit.

Katanya, kebun dan ­tanam-tanaman mereka habis dimusnahkan sehingga terpaksa menem­puh perjalanan lebih 30 km untuk mencari hasil hutan baharu.

“Saya telah menetap di sini sejak 30 tahun lalu. Masyarakat di kampung ini mengutip hampir 10,000 batang buluh di kawasan hutan di mana projek tersebut sedang dilaksanakan sebelum menjual kepada peraih dengan harga RM2 sebatang.

“Ada antara kami juga raih pendapatan dengan menjual buah-buahan di pondok tepi jalan dan kepada peraih. Sekarang, habis pokok buah-buahan se­perti durian, manggis serta pokok buluh musnah.

“Sekarang kami nak jual apa? Buah sudah tiada, bukan kata buah, pokok pun sudah tiada.

“Kami faham memang tanah tersebut adalah milik kerajaan, tetapi kami jadi seperti ‘mati kutu’ dengan apa yang berlaku sekarang,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Pokok buluh antara tanaman yang musnah di sebahagian kawasan Hutan Lipur Sungai Tua.

Mat Deli memberitahu, bagi mencari hasil hutan yang semakin berkurangan di kawasan kampung, mereka terpaksa pergi ke Batang Kali, Kuala Kubu Bharu atau meneroka hutan lain.

Ujarnya, penduduk berharap agar sejumlah wang pampasan yang telah dijanjikan oleh pihak pembangunan projek itu menerusi persetujuan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dapat dilunaskan segera.

“Pihak yang melaksanakan projek itu berjanji untuk memberikan wang pampasan pada awal Februari lalu, namun masih belum diterima sehingga kini.

“Berkali-kali kami berjumpa pihak kontraktor untuk minta penjelasan, tetapi kebanyakan mereka tidak tahu bercakap bahasa Melayu.

“Saya yang duduk sini pun, tidak tahu apa yang terjadi di dalam sana. Kami hanya mampu mengadukan masalah kepada pihak JAKOA untuk mereka bertindak,” ujarnya.

Mat Deli juga berharap projek itu tidak ‘dilebarkan’ ke kawasan perkampungan mereka kerana tidak mahu berpindah-randah dan menghadapi gangguan haiwan liar.

Jelasnya, sejak dari penempatan asal, masyarakat Orang Asli di kampung itu telah berpindah sebanyak tiga kali dan tidak sanggup lagi membina perkampu­ngan baharu.

“Kalau hutan di sini sudah semakin sempit, pasti haiwan liar akan datang ke kampung kami. Babi hutan boleh tahan lagi, kami takut haiwan seperti harimau akan muncul di kampung kami untuk mencari makanan.

“Jadi kami perlu adukan (masalah) ini kepada JAKOA untuk mereka berurusan de­ngan pihak kontraktor. Setakat ini pihak JAKOA sudah maklum tentang isu ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI