fbpx

Penduduk Taman Medan rayu kerajaan teruskan projek PJD Link

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gagasan Penduduk DUN Taman Medan menunjukkan pelan projek Lebuhraya PJD Link pada sidang media bagi menzahirkan bantahan terhadap keputusan kerajaan membatalkan projek Lebuhraya PJD Link di Taman Medan, Petaling Jaya. FOTO/AFIQ RAZALI/KOSMO!

PETALING JAYA – Penduduk sekitar Petaling Jaya terutama di kawasan Taman Medan merayu kerajaan agar tidak membatalkan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).

Wakil Penduduk Taman Medan, Mohd Razali Abdullah berkata, ini kerana projek pembinaan lebuh raya tersebut perlu diteruskan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan Taman Medan yang kini sesak teruk.

“Dengan pertambahan penduduk dan pembinaan bangunan seperti kondominium di kawasan ini, satu laluan alternatif diperlukan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Sekiranya projek lebuh raya ini dibatalkan, kerajaan juga perlu membayar sejumlah pampasan kepada pemegang konsesi.

“Mereka juga telah buat kerja awal. Kalau ia dibatalkan, kerajaan kena bayar pampasan kepada konsesi. Bayaran pampasan ini tentunya akan gunakan rakyat. Itu sepatutnya kita elak dari berlaku,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Razali, satu memorandum rayuan meneruskan projek pembinaan lebuh raya PJD Link akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu nanti.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Komuniti Petaling Jaya, Mohd Yusri Ramli pula menyatakan terpulang kepada kebijaksanaan kerajaan sama ada untuk menukar pemegang konsesi sedia ada ataupun tidak.

“Kalau nak ubah konsesi baharu,akan ada lagi pertambahan masa, konsesi baharu perlu buat kajian semula dan dapatkan laporan. (Mungkin) memerlukan masa lagi tiga hingga empat tahun.

“Kenapa kita nak buang masa tiga hingga empat tahun untuk lantik konsesi baharu sedangkan yang lama dah ini ada. Yang ada ini kita perbaiki balik. Bincang balik dengan konsesi sedia ada apa masalah ini,” katanya.

Terdahulu, kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri telah mengambil keputusan untuk membatalkan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD LINK) pada Khamis lepas.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa keputusan kerajaan untuk membatalkan projek tersebut selepas pemegang konsesinya gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang telah ditetapkan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI