fbpx

Maqis kuarantin 543 burung dari luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara burung-burung yang dikuarantin di Maqis Batu Maung.

GEORGE TOWN – Sebanyak 543 ekor burung bernilai RM83,063 dari Singapura, Republik Czech dan Guinea telah dikuarantin di Stesen Kuarantin Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Batu Maung sejak 2022 sehingga April tahun ini.

Pengarah Maqis Negeri, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, pihaknya bertanggungjawab dalam melakukan aktiviti persampelan terhadap burung yang dibawa masuk daripada negara luar sepanjang tempoh kuarantin.

“Pengambilan sampel ke atas burung akan dijalankan sehari selepas kemasukan burung di Stesen Kuarantin Maqis, ini adalah bagi tujuan mengelak burung yang dikuarantin mengalami kemurungan dan tekanan disebabkan perubahan tempat tinggal.

“Kebiasaannya, sampel calitan kloaka bagi burung yang dikuarantinkan akan diambil untuk tujuan saringan ujian Avian Influenza (AI) dan ujian Newcastle Disease (ND),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, sekiranya ujian tersebut didapati positif maka, burung tersebut akan dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya.

“Mana-mana unggas kesayangan seperti burung kakak tua dan burung nuri yang dibawa masuk ke Malaysia perlu menjalani prosedur kuarantin.

“Tempoh kuarantin bagi burung ditentukan berdasarkan analisis risiko ke atas terhadap spesies burung dan negara asal yang berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, pada masa ini, terdapat tujuh buah Stesen Kuarantin Haiwan Kerajaan yang telah dibina iaitu sebanyak enam buah di Semenanjung Malaysia dan sebuah di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Setiap Stesen Kuarantin ini mempunyai kemudahan dan kapasiti tersendiri bagi urusan kuarantin haiwan.

“Stesen Kuarantin Pulau Pinang merupakan salah satu pusat kuarantin yang dibina bagi tujuan pencegahan kemasukan penyakit haiwan dan zoonotik ke dalam negara melalui aktiviti pengimportan haiwan hidup terutamanya burung,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tindakan membawa masuk haiwan hidup yang berpenyakit adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI