PETALING JAYA – Rata-rata pemandu e-hailing mengakui pendapatan mereka terjejas teruk susulan wujudnya aplikasi tidak berdaftar yang menawarkan perkhidmatan sama ketika ini.
Malah perkhidmatan tidak berdaftar itu juga telah ‘mencuri’ lebih separuh penumpang e-hailing berdaftar kerana penawaran harga yang lebih murah.
Menurut seorang pemandu e-hailing sepenuh masa yang dikenali Razak, 53, pendapatannya terjejas lebih 50 peratus ketika ini selepas terpaksa bersaing dengan aplikasi tidak sah.
Jelasnya, jika dahulu dia memperolehi lebih 20 penumpang sehari, namun ketika ini hanya sekitar lapan ke 10 orang.
“Sekarang nak dapat pendapatan bersih RM100 pun susah walaupun bekerja lebih tujuh jam bermula 9 pagi sehingga 4 petang. Kadang-kadang nak dapat bersih RM70 sehari pun susah.
“Dulu dalam sehari dapat RM250 jika kerja tujuh jam sehari dan sebulan dapatlah RM5,000 hingga RM6,000. Sekarang sebulan paling banyak pun RM3,000, kadang-kadang RM2,000,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Bapa lima anak itu berkata, kadar yang ditawarkan oleh aplikasi ‘haram’ yang lebih murah itu juga antara penyebab ramai beralih kepada perkhidmatan mereka.
“Sebagai contoh jika aplikasi berdaftar kadarnya RM10 untuk 10 kilometer, mereka (aplikasi haram) boleh beri pengurangan sehingga RM7. Jadi, bagaimana kami nak bersaing? Sebab itu ramai penumpang pilih mereka.
“Ada antara kami yang terpaksa kerja lebih 12 jam sehari untuk mencari pendapatan lebih. Jika dulu lapan jam sehari pun dah boleh bawa balik RM200 hingga RM250 sehari,” katanya yang menetap di Sungai Buloh.
Nasib sama turut dialami seorang lagi pemandu e-hailing dikenali Khairul, 43, yang kini terpaksa memandu e-hailing ‘lebih masa’ bagi mencari rezeki lebih.
Dia yang juga pemandu sepenuh masa berkata, jika tidak bekerja lebih masa, susah untuk membayar komitmen hutang sedia ada.
“Terpaksa ‘overtime’ sampai tengah malam, nak bayar sewa rumah lagi, makan minum keluarga, hutang kereta, minyak, tol dan selenggara kereta juga perlu ada simpanan kerana hari-hari bawa kereta ini untuk cari rezeki.
“Sekarang, jadi pemandu e-hailing ‘penat’ berbanding dulu kerja lapan jam pun dah bawa balik RM250 hingga RM300. Sekarang kerja sampai tengah malam, kadang-kadang awal pagi,” katanya yang hampir tiga tahun memandu di Lembah Klang. -KOSMO! ONLINE
















