fbpx

Pelancong Pulau Redang cemas feri terbakar tengah laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan feri membawa 79 pelancong yang musnah terbakar di perairan Pulau Bidong, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Seramai 79 pelancong yang dalam perjalanan pulang dari pulau peranginan terkenal, Pulau Redang cemas apabila feri dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di perairan Pulau Bidong di sini hari ini.

Sewaktu kejadian pada pukul 2.40 petang itu, feri yang membawa kesemua penumpang tersebut sedang menuju ke Terminal Feri Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, pasukan Maritim Malaysia (APMM) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung insiden terbabit.

“Dua aset APMM iaitu bot Perkasa 1248 dan bot Pengawal 16 yang sedang mengadakan rondaan di sekitar perairan tersebut telah diarahkan untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan.

“Kesemua 79 mangsa berjaya diselamatkan sebelum dipindahkan ke sebuah feri lain milik sebuah resort di Pulau Redang,” katanya.

Mohd. Khairulanuar berkata, siasatan akan dilakukan bagi mengenalpasti punca kebakaran feri berkenaan.

Beliau juga berharap aspek keselamatan perlu ditingkatkan dan dititik berat dalam sebarang aktiviti di laut bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI