Di sebalik rupanya yang comel, ruang tempat duduk depan Ora Good Cat 500 Ultra kelihatan luas dan selesa.

Ora Good Cat 500 Ultra kereta elektrik retro comel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ORA Good Cat dihasilkan oleh Great Wall Motors (GWM) untuk divisyen kenderaan elektrik (EV). Debut pertama model ini di Chengdu Auto Show pada Julai tahun 2020.

Model ini tampil dengan gaya rekaan ala retro yang dibuat oleh bekas pereka bentuk Porsche, Emanuel Derta.

Rekaan unik bahagian luaran EV ini mampu untuk menarik perhatian sesiapa sahaja ketika terlihatnya.

Lampu utama seperti mata kucing itu menggunakan jenis LED. Pada bahagian sisi pula, ia hadir dengan rim bersaiz 18 inci menerusi rekaan unik. Sebelah belakang pula lampunya terletak di sebalik cermin. Sekali pandang nampak bersih dan ala futuristik.

Walaupun model ini nampak comel, ia bukan sebuah kenderaan yang kecil. Lebar Ora Good Cat ini adalah 1,825 milimeter (mm), tinggi (1,596 mm) dan panjang (4,235 mm).

Pada November tahun lalu, GWM Malaysia secara rasminya telah melancarkan model ini dengan menawarkan dua varian 400 Pro dan 500 Ultra.

Ketika dilancarkan, pembeli model ini turut ditawarkan pakej menarik empat dalam satu.

Ora Good Cat 500 Ultra mempunyai lebar 1,825mm, panjang (4,235mm) dan tinggi (1,596mm).

Para pembeli akan menerima pengecas di rumah dan mudah alih secara percuma, waranti kereta selama lima tahun atau 150,000 kilometer (km) atau mana-mana tiba dahulu, waranti bateri selama lapan tahun atau 180,000 km atau mana-mana tiba dahulu dan percuma lima kali kos buruh untuk penyelenggaraan.

Baru-baru ini, pihak GWM Malaysia telah mempelawa penulis untuk memandu uji model 500 Ultra yang merupakan varian tertinggi di Malaysia.

Penulis sebenarnya teruja sebaik sahaja ditawarkan untuk memandu uji kenderaan elektrik dari China ini kerana rekaannya yang unik dan ciri-ciri menarik yang ditawarkan.

Jangkaan awal penulis tidaklah terlalu tinggi untuk kenderaan ini kerana bimbang ia hanya indah khabar dari rupa.

Sebaik mengambil kereta ini, perkara pertama yang penulis perhatikan adalah rekaan luarannya yang nampak comel, tetapi ia tidak sama saiz dengan Perodua Kancil.

Penggunaan lampu LED yang berbentuk agak bulat, rim dengan rekaan tersendiri membuatkan kereta ini mempunyai gabungan moden dan klasik.

Masuk ke ruang kabin, kereta pandu uji ini menggunakan dua tona warna iaitu ‘beige’ dengan coklat yang memberi impak mewah. Kombinasi warna ini sangat menyerlahkan dan membuatkan ruang dalamnya nampak luas.

Penggunaan material yang baik juga membuatkan penulis terasa seperti berada dalam kenderaan dari Jerman.

RIM dengan rekaan tersendiri membuatkan Ora Good Cat 500 Ultra kelihatan moden dan klasik.

Model ini menggunakan panel meter kluster berukuran tujuh inci, manakala sistem infotainment bersaiz 10.25 inci.

Sistem infotainment juga hadir dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto bagi memudahkan pemandu. Selain itu, berada di konsol tengah adalah pengecas tanpa wayar.

Tombol kereta ini jenis ‘pusing’, sekali gus membuatkan ruang tengahnya lebih lapang. Parkir brek elektronik pula terletak berhampiran gear.

Penulis difahamkan, sekiranya tempat duduk belakang direbahkan ia mampu menawarkan ruang simpanan bersaiz 858 liter.

Ciri-ciri menarik lain seperti tiga mod parkir kereta integrasi pintar, Cornering Brake Control, Wisdom Dodge System, Adaptive Cruise Control dengan Intelligent Turning dan bantuan ketika trafik sesak serta kamera 360 darjah.

Varian yang penulis pandu uji ini menggunakan enjin jenis ‘permanent magnet synchronous motor’ dengan bateri ternary lithium.

Warna ruang dalamannya kelihatan ‘bersih’.

Penulis difahamkan kombinasi itu membolehkan kereta ini bergerak sehingga 500 km.

Kesimpulannya, Ora Good Cat memang mempunyai tarikan tersendiri kerana sepanjang beberapa hari penulis memandu kereta ini pasti ada orang yang menoleh dan tersenyum melihat kereta ini. Ada juga yang menunjukkan isyarat bagus.

Penulis percaya, kombinasi warna yang menyerlah juga memainkan peranan sebagai faktor penarik kenderaan ini.

Kereta ini bukan sahaja sesuai digunakan di bandar, malah bagi perjalanan jauh seperti dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru atau Ipoh.

Ini kerana, kedudukan tempat duduknya yang selesa termasuk untuk penumpang belakang.

Cuma perlu rancang perjalanan di mana harus berhenti untuk mengecas.

Secara keseluruhannya, penulis memberi pujian untuk model ini kerana ia menawarkan banyak ciri yang ada pada kenderaan mewah.

Misalnya, ‘welcome seat’, kerusi urut (tempat duduk pemandu), bumbung suria, kamera 360 berkualiti dan beberapa lagi pada harga bawah RM200,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN