fbpx

Jangan ada yang tikam dari dalam – Puad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puad. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

PETALING JAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi menerusi kenyataannya di Facebook menegaskan, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baru-baru ini supaya semua pihak menghentikan sebarang gerakan untuk menggagalkan kestabilan negara dan perlu diberi perhatian serius.

Beliau menyifatkan, titah Sultan Johor agar Kerajaan Perpaduan tidak diganggu gugat adalah teguran kepada pelampau politik yang tidak serik dengan pengalaman pahit pertukaran tiga perdana menteri sebelum ini.

“Teguran Sultan Johor itu menyeluruh bukan sahaja kepada pihak lawan tetapi juga anggota Kerajaan Perpaduan demi maslahah kestabilan.

“Maka, jangan ada parti atau Ahli Parlimen di pihak Kerajaan Perpaduan membuat langkah menikam dari dalam. Jangan terbabit proses jual beli politik dengan pihak lawan.

“Titah baginda cukup jelas. Hentikan desas-desus, provokasi, niat dan perancangan untuk menukar Kerajaan Perpaduan terutama oleh pihak lawan. Peluang sudah diberi melalui peti undi di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Beliau yang juga Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Johor, berkata, teguran baginda amat wajar kerana idea Kerajaan Perpaduan adalah titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja-Raja Melayu.

“Ia merupakan titah YDP Agong dan Raja-Raja-Raja Melayu untuk menyelesaikan kebuntuan penubuhan kerajaan ketika itu.

“Pertahankan kestabilan,” tegasnya.

Baru-baru ini menerusi Facebook, Sultan Ibrahim telah bertitah, menyuarakan kebimbangan terhadap desas-desus berkenaan kestabilan kerajaan yang masih kedengaran walaupun sudah enam bulan PRU15 diadakan.

Baginda menzahirkan kekecewaan apabila sehingga kini menurut baginda, 222 Ahli Parlimen dilihat masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.

“Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara, baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.

“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini? Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI