fbpx
DR. Rosnah menyarankan supaya orang ramai nikmati sajian yang dihidangkan ketika musim perayaan ini secara berkhemah bagi mengelak mudarat kepada kesihatan.

Aidilfitri bukan bulan makan apa sahaja – Dr. Rosnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KESIHATAN yang baik merupakan satu anugerah terbesar buat manusia. Melalui kesihatan yang baik, seseorang itu dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera. Namun begitu, tidak semua individu dianugerahkan dengan tahap kesihatan yang baik sepanjang masa. Ada ketikanya, kita diuji dengan penyakit tertentu. Bagi membincangkan tahap kesihatan masyarakat di negara ini, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Ketua Sektor (Khas C), Kawalan Penyakit CVD/ Diabetes/ Kanser, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Rosnah Ramly baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Secara keseluruhannya bagaimana Dr. melihat tahap kesihatan rakyat Malaysia ketika ini berbanding dua dekad lalu?
DR. ROSNAH: Kami di KKM ada menjalankan kajian bagi menilai status kesihatan dan morbiditi dalam kalangan individu dewasa di Malaysia iaitu mereka berumur 18 tahun dan ke atas, setiap lima tahun sekali. Data terkini adalah pada 2019 dan akan datang pada tahun hadapan.

Dapatan daripada tinjauan ini mendapati, prevalens atau peratus dewasa di Malaysia yang mempunyai diabetes dan paras kolesterol tinggi pada tahun 2019 meningkat berbanding 2011.

Peratus dewasa yang mempunyai diabetes menunjukkan peningkatan sebanyak 63 peratus, paras kolesterol tinggi meningkat sebanyak sembilan peratus.

Malah, mereka yang obesiti meningkat sebanyak 31 peratus.

Sementara itu, peratus dewasa yang mempunyai hipertensi tidak menunjukkan peningkatan, tetapi kekal tinggi iaitu sekitar 30 peratus.

Ini tidak menggembirakan kerana ketiga-tiga penyakit iaitu diabetes, hipertensi dan paras kolesterol tinggi merupakan risiko utama kepada masalah kardiovaskular terutamanya penyakit jantung koronari serta strok yang merupakan punca kematian utama di Malaysia.

Bagaimana pula dengan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan? Adakah lebih baik atau bagaimana?
Sebagaimana yang kita tahu, kesedaran adalah penting untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai tahap celik kesihatan yang tinggi dalam penjagaan kesihatan untuk mencegah sebarang penyakit.

Bagaimanapun, kesedaran hanyalah sebahagian dalam kapasiti celik kesihatan atau literasi kesihatan. Ini kerana ia sebenarnya lebih memberikan penekanan kepada keupayaan individu untuk menilai maklumat dan membuat keputusan bagi kesihatan lebih baik.

Hasil daripada beberapa tinjauan yang dijalankan menerusi aktiviti promosi kesihatan yang dilaksanakan di lapangan dan menerusi media, lebih 90 peratus rakyat Malaysia sedar dan faham mengenai aspek amalan cara hidup sihat seperti aktif secara fizikal, makan secara sihat serta tidak merokok.

Namun, kesedaran ini masih belum mampu dipraktikkan kepada tingkah laku kesihatan yang baik.

Malah, satu daripada dua orang dewasa di negara ini mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Sementara, satu daripada empat orang dewasa di Malaysia tidak melakukan aktiviti fizikal mencukupi.

Selain itu, hanya satu daripada 20 orang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran mencukupi seperti disarankan.

Malaysia adalah antara negara yang mempunyai penghidap penyakit tidak berjangkit tertinggi di dunia seperti diabetes, kardiovaskular dan hipertensi.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019, satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah dari aspek penjagaan kesihatan, pencegahan penyakit dan promosi kesihatan.

Antara masalah kesihatan yang sering dihidapi oleh rakyat Malaysia adalah diabetes dan hipertensi. Bagaimanakah seriusnya penyakit ini? Berapa peratus rakyat Malaysia yang menghadapi masalah ini?
Kita adalah antara negara tertinggi di dunia bagi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi.

Berdasarkan NHMS pada 2019, satu daripada lima orang dewasa di negara ini iaitu 3.9 juta individu mempunyai diabetes.

Manakala, satu daripada tiga orang dewasa iaitu 6.4 juta individu mempunyai hipertensi. Separuh daripada mereka adalah undiagnosed iaitu tidak menyedari mereka mempunyai penyakit tersebut.

Terdapat segelintir individu yang tidak ambil peduli dengan tahap kesihatan mereka apabila disahkan mempunyai diabetes atau hipertensi. Mereka menganggap ia merupakan masalah normal dan tidak perlu dirawat? Boleh Dr. ulas kesan apabila tidak merawat masalah ini dalam jangka panjang?
Dapatan tinjauan kesihatan yang dilakukan oleh KKM mendapati 50 peratus daripada pesakit tidak mengetahui yang mereka mempunyai penyakit tersebut.

Oleh itu, mereka tidak mendapatkan rawatan dan tidak mengubah gaya hidup sehingga meningkatkan risiko kepada komplikasi seperti kerosakan organ penting seperti buah pinggang, mata serta serangan jantung.

Suka saya mengingatkan diabetes dan hipertensi juga boleh berlaku pada mereka berusia muda.

Paling membimbangkan, peratus mereka yang tidak ‘undiagnosed’ penyakit tersebut adalah tinggi.

Jadi, penyakit ini bermula lebih awal dan berada lebih lama tanpa rawatan. Ini boleh meningkatkan risiko kepada komplikasi yang dinyatakan tadi.

Selain kerosakan organ penting, diabetes yang tidak terkawal juga boleh melemahkan sistem pertahanan tubuh melawan jangkitan.

Dengan kerosakan organ, ditambah ketahanan tubuh yang lemah, ia akan meningkatkan risiko kepada gejala teruk dan kematian akibat jangkitan.

Kita belajar daripada pandemik Covid-19, kemasukan ke wad akibat jangkitan teruk dan kematian adalah tinggi dalam kalangan penghidap hipertensi dan diabetes.

Ketika ini, ramai yang masih meraikan lebaran. Apakah cabaran kepada kesihatan ketika menyambut hari raya?
Pastinya, bulan kemenangan ini akan disambut dengan penuh warna-warni dan amalan tradisi ziarah-menziarahi dalam kalangan kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai serta jiran tetangga.

Itu adalah amalan yang baik sambil bermaaf-maafan dan mengeratkan jalinan tali persaudaraan.

Namun, tidak indah kunjungan tanpa juadah terhidang. Tidak manis, jika tidak merasa hidangan.

Jadi, cabaran terbesar bukan sahaja kepada tuan rumah tetapi kepada tetamu yang datang bertandang. Cabaran utama adalah mengekalkan amalan pemakanan sihat dan mengawal pengambilan makanan yang telah dilatih ketika Ramadan.

Semestinya, hidangan hari raya adalah antara inti pati penting ketika sambutan Aidilfitri. Namun, berapa ramaikah yang sedar akan pentingnya pemakanan sihat ketika musim perayaan ini?
Biasanya, ramai antara kita akan mengambil makanan secara berlebihan kerana setiap rumah dikunjungi menghidangkan pelbagai jenis juadah bagi menghargai tetamu.

Walaupun Aidilfitri adalah hari kemenangan untuk umat Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan, tetapi tidak bermakna kita boleh makan apa saja yang tersedia di depan mata.

Hakikatnya, pengambilan juadah tanpa kawalan boleh memberi risiko kepada kesihatan, sekali gus mendekatkan kita kepada masalah seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti.

Pastinya, deretan menu tersedia ketika mengunjungi rumah terbuka mampu membangkit selera. Jadi rugilah jika tidak dimakan. Lagi pula, ‘tuan rumah’ telah bersusah payah menyediakannya?
Bukan tidak boleh menikmati hidangan yang disajikan.

Namun, kita perlu sentiasa beringat untuk memastikan hidangan yang diambil tidak berlebihan.

Elakkan pengambilan makanan manis terlalu banyak. – Gambar hiasan

Justeru, apakah tip mudah yang boleh dilakukan oleh kita? Adakah pihak tuan rumah perlu memainkan peranan mereka?
Ya betul! Tuan rumah perlu terlebih dahulu memainkan peranan untuk menggalakkan amalan pemakanan sihat semasa musim perayaan ini.

Sebagai tuan rumah, kita perlulah menggalakkan amalan pemakanan sihat kepada tetamu, bukan melalui kata-kata tetapi dengan menyediakan pilihan lebih sihat.

Salah satu langkah yang terbaik, mereka hendaklah menyediakan makanan yang seimbang, sederhana dan pelbagaikan hidangan terutamanya bercirikan makanan kurang lemak, masin serta manis.

Sebagai contoh, sekiranya hidangan utama anda adalah ketupat, sediakanlah hidangan lain yang kurang lemak seperti rendang yang tidak menggunakan santan tetapi guna susu rendah lemak.

Sekiranya anda ingin menghidangkan mi, pilihlah bihun daripada mi kuning atau kuetiau. Sediakan mi sup atau jenis rebus berbanding goreng.

Selain itu, tambahkan sayur-sayuran di dalam mi berkenaan.

Jika hidangan utama anda berupa nasi, sediakan nasi bersama dengan ayam kukus atau panggang. Pastikan buah-buahan dihidangkan kepada tetamu yang hadir.

Bagaimana pula apabila kita sebagai tetamu? Ada sebarang tip?
Pilih makanan rendah kalori seperti buah-buahan segar dahulu sebelum mengambil makanan lain.

Utamakan makanan dimasak tanpa menggunakan santan atau menggunakan minyak yang sedikit.

Pastinya pelbagai makanan akan menarik minat kita, maka hadkan pengambilan makanan manis seperti dodol, wajik, biskut dan kuih-muih.

Selain itu, ambil makanan dengan menggunakan pinggan bersaiz kecil untuk mengelakkan pengambilan secara berlebihan.

Elak duduk berhampiran dengan meja hidangan. Ia bagi mengelak anda daripada cenderung mengambil makanan secara berlebihan.

Kita juga harus mengelak mengambil makanan berulang-ulang.

Ambil makanan secukupnya untuk mengelakkan pembaziran dan makan secara perlahan. Pilih air kosong sebagai minuman utama berbanding minuman berkarbonat atau minuman manis dan berwarna. Bawa bekalan air kosong sebagai persediaan sekiranya tuan rumah tidak menyediakan air kosong.

Pada musim perayaan ini, banyak undangan rumah terbuka yang diterima. Bagaimana hendak amalkan pemakanan sihat?
Kita perlu merancang perjalanan dan jumlah rumah yang akan dikunjungi. Atur waktu makan anda dengan bijak semasa menghadiri rumah terbuka.

Sebagai contoh, sekiranya anda perlu hadir ke tiga rumah terbuka pada satu hari, maka rancanglah supaya kehadiran anda sesuai dengan tiga waktu makan utama.

Kalau pukul 11 pagi, sebaik-baiknya anda ambil hidangan untuk makan tengah hari.

Rumah kedua pula, anda ambil makanan untuk minum petang.

Manakala, rumah ketiga pula anda ambil makanan untuk makan malam.

Namun, jika lebih banyak rumah terbuka perlu dihadiri, maka ambil sebahagian saja makanan yang diperlukan ketika waktu makan.

Boleh Dr. simpulkan nasihat kepada orang ramai mengenai pengambilan makanan sempena musim perayaan ini?
Nasihat saya, kita kena ingat tiga kata kunci iaitu pelbagai, seimbang dan sederhana. Ambil pelbagai jenis makanan daripada semua kelas makanan iaitu karbohidrat, protein, lemak, sayur-sayuran dan buah.

Melaluinya, kita boleh dapat banyak nutrisi yang diperlukan.

Terlalu sedikit atau banyak, kedua-duanya adalah tidak baik kepada diet anda. Pengambilan makanan dalam kuantiti yang sederhana amat penting.

Pastikan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong setiap hari. Amalkan juga pengambilan makanan berdasarkan keperluan harian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN