fbpx

Empat buruh Bangladesh cedera dirempuh Perodua Kelisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Kelisa yang merempuh empat lelaki Bangladesh di KM 51, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Kampung Jambu Bongkok, Marang hari ini.

MARANG – Gara-gara dirempuh sebuah kereta Perodua Kelisa terbabas, empat lelaki warga Bangladesh yang sedang berjalan kaki ke kedai runcit cedera di KM 51, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Kampung Jambu Bongkok di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 12.30 tengah hari itu, salah seorang mangsa, Md. Shiblu Rahman, 39, cedera parah di beberapa anggota badan hingga terpaksa ditidurkan di Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Md. Dris berkata, seorang rakan Md. Shiblu iaitu Md. Hridoy Khan, 28, pula patah paha kanan.

Beliau berkata, dua lagi mangsa juga lelaki warga Bangladesh berusia 38 dan 39 tahun masing-masing cedera pada bahagian bahu dan paha.

“Sewaktu kejadian, keempat-empat mangsa yang merupakan buruh sebuah tapak projek tenaga solar sedang berjalan kaki ke sebuah kedai runcit berhampiran rumah sewa mereka.

“Sebuah kereta Perodua Kelisa dipandu seorang tukang jahit lelaki dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas merempuh kesemua mangsa yang berada di tepi jalan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, pemandu kereta Perodua Kelisa berusia 24 tahun terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Shukor, Hulu Dungun.

Tambah beliau, tukang jahit tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan manakala empat lelaki warga Bangladesh yang cedera pula dikejarkan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.

“Ujian urin terhadap pemandu kereta Perodua Kelisa adalah negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI