fbpx

Tidak perlu ragu kiblat masjid, surau di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Masyarakat Islam tidak perlu meragui tentang penentuan arah kiblat masjid dan surau di Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, penentuan arah kiblat yang dilaksanakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor juga adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Katanya, ini berhubung dengan had berpaling yang dibenarkan daripada arah kiblat (Had al-Tahawwul ‘Ani al-Qiblat), yang menjelaskan bahawa arah mengadap kiblat merupakan perkara ijtihadi dan zanni.

Penentuan had juga tidak melebihi 3 darjah bagi pesongan mihrab yang dibenarkan boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baharu.

“MAIS turut mewajibkan agar penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor ini dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu masjid, surau atau musolla yang baharu mula beroperasi.

“Dalam hal penentuan arah kiblat di Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor sentiasa memberikan pencerahan dan hebahan dari semasa ke semasa berhubung kaedah penetapan arah kiblat kepada masyarakat sama ada melalui laman web dan media sosial rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor atau program pencerahan yang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar tempatan berhubung 40 peratus arah kiblat Lembah Klang tersasar yang dilaporkan berdasarkan pernyataan daripada Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS).

Menurut Abdul Aziz, MAIS telah meminta penjelasan berhubung perkara itu daripada wakil PAFNS Selangor yang diwakili Prof. Datuk Dr. Mohd Zambri Zainuddin dan Abdul Latip Ibrahim dalam suatu pertemuan yang dipengerusikan beliau sendiri selain dihadiri Mufti Selangor, Prof. Madya Dr. Anhar Opir serta anggota MAIS, Datuk Salehuddin Saidin.

Ujarnya, MAIS menegaskan tajuk laporan akhbar ini adalah kurang tepat dan tidak menggambarkan perkara sebenar serta telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Selangor.

“Laporan tersebut hanya merujuk kepada penentuan arah kiblat rumah kediaman sahaja berdasarkan permohonan khidmat penentuan arah kiblat bagi rumah kediaman yang diterima oleh PAFNS.

“Laporan tersebut sama sekali tidak berkaitan dengan penentuan arah kiblat masjid dan surau di Selangor. Arah kiblat masjid dan surau sedia ada di Negeri Selangor telah disemak dan diperakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor,” tegasnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI