fbpx

‘Hajat tak kesampaian, Mael nak turun KL, persediaan konsert, jumpa kawan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YAZID memaklumkan Mael cukup bersemangat untuk meneruskan banyak agenda persembahan selepas raya.

PETALING JAYA – Pengurus XPDC, Mohd. Yazid Selamat memaklumkan Allahyarham Mael merancang ‘turun’ ke Kuala Lumpur minggu depan bagi menjalani latihan konsert.

Kata bekas anggota band Tragedy itu, Allahyarham bersama ahli kumpulannya dijadualkan tampil dalam Konsert SoundValley Festival 2023 di Maeps, Serdang pada 6 Mei ini.

Malah menurut Yazid, 60, Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim teruja bertemu rakan lain selepas kali terakhir mereka beraksi bersama-sama seminggu sebelum bulan puasa.

“Ikut jadual memang XPDC banyak undangan pentas musim raya ini. Mereka diundang ke Kota Tinggi sehari sebelum konsert bersama Aina Abdul dan beberapa artis lain di Maeps. Jadi arwah bercadang Kuala Lumpur awal Mei untuk berlatih.

“Perkara itu ada dinyatakan ketika kami berbalas mesej pada malam raya. Arwah seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan sebab selepas persembahan sebelum Syawal, kamu banyak berhubung menerusi Whatsapp saja.

“Memang dia nampak bersemangat. Masa hari raya pun kami ada berbual perkara sama. Sebagai sahabat lama, saya tahu dia teruja. Nyata Allah lebih menyayanginya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Berita pemergian Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim dikongsikan anak perempuan Allahyarham, Sharifah Irfatasha, malam tadi.

Arwah menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) pukul 8.41 malam tadi.

Menurut Yazid yang sudah lebih empat dekad mengenali Mael, semangat kuat rakannya itu antara perkara yang membuatkannya mengagumi figura itu.

“Kami dah berkawan sebelum sama-sama bersatu dalam kumpulan Tragedy lagi. Kecenderungan terhadap muzik dan semangatnya tidak pernah luntur.

“Walaupun menghidap asma sejak zaman bujang hingga tahap kesihatannya menurun seiring faktor penyakit, Mael tetap meneruskan perjuangan,” katanya.

Mengimbas kegemilangan XPDC yang asalnya daripada kumpulan Tragedy, Mael merupakan pengasas kedua-dua band rock tersebut seawal 1985 yang kemudian ditukar ke XPDC tiga tahun selepas itu.

Sepanjang memulakan kerjaya sebagai artis rakaman bermula pada 1990, XPDC yang dikenali sebagai Raja Fun Fair telah melalui pelbagai jatuh bangun dan konflik dalaman.

Mael bersama XPDC merakamkan empat album fizikal, Darjah Satu, 1990), Timur Barat (1992) Kita Peng-Yu (1994) dan Brutal (1997), dengan Album Kita Peng-Yu serta Brutal mencetuskan fenomena apabila terjual melebihi 350,000 unit.

Antara  lagu XODC yang menjadi siulan kaki rock hingga kini termasuk C.I.N.T.A, Nafisa, Di Hentian Ini, Aku dan Sesuatu, C T Cinta Kenangan Silam dan Titian Perjalanan.

Album Brutal turut menyaksikan pengunduran Maeldengan posisi vokalis diisi Ali Terra Rossa, malah selepas itu kemelut dalaman band yang dianggap Metallica Malaysia itu semakin rumit apabila berlaku lagi perpecahan yang menyaksikan kumpulan ini terbahagi dua, XPDC dan Real XPDC.

Sementara itu, jenazah bapa kepada lima cahaya mata itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 6 Muar, Johor sekitar pukul 10.55 pagi tadi.

Turut memberi penghormatan terakhir adalah rakan seperjuangannya daripada XPDC termasuk Zuar dan Ali, selain anggota Prime Domestic yang juga gitaris tersohorJoe Branko. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI