fbpx

Dulu beli ikan kembung RM6 sekilogram, kini RM14 di Tok Bali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan jeti pendaratan ikan di tepi sungai Tok Bali, Pasir Puteh sepi apabila hanya pemborong yang boleh membeli hasil laut.

PASIR PUTEH – Penduduk dan pelancong di kawasan Tok Bali di sini tidak lagi berpeluang membeli hasil laut segar pada harga murah selepas jualan ikan didakwa dimono­poli pemborong di Pasar Terminal Ikan Tok Bali (TIBA) sejak sembilan tahun lalu.

Selain itu, faktor hanya pemborong yang boleh membeli hasil laut di pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali di sini juga menyebabkan kenaikan harga ikan di pasaran ketika ini.

Seorang penduduk, Abdul Ghani Mohamed, 50, berkata, sebelum TIBA dibuka, ikan-ikan dan hasil laut bebas dijual di jeti persendirian, malah ada nelayan yang menjual ikan di atas bot selepas pulang dari laut.

Menurutnya, suasana itu sudah tiada apabila kebanyakan nelayan menjual ikan kepada peraih di TIBA dan pemborong di LKIM.

“Sebelum ini, ikan selayang dijual RM4 sekilogram, manakala ikan kembung segar RM6. Apabila jualan ikan dimonopoli pemborong, kedua-dua ikan itu dijual dua kali ganda iaitu antara RM12 hingga RM14 sekilogram.

“Kawasan jeti di Tok Bali sebelum ini menjadi tumpuan orang ramai membeli ikan murah pada waktu malam. Kini, suasana itu sudah tiada lagi, pemborong di TIBA atau LKIM membeli kesemua hasil laut sebelum menjual kepada peraih,” katanya.

Kawasan jeti pelabuhan LKIM yang menjadi lokasi urus niaga pengusaha bot dengan pemborong di Tok Bali, Pasir Puteh. – TOREK SULONG

Menurut Abdul Ghani, meskipun pembangunan TIBA pada asalnya untuk membantu jualan hasil laut di Tok Bali, kawasan tersebut ketika ini dilihat terbiar apabila hanya beberapa premis sahaja yang masih beroperasi.

“Kenaikan harga barangan asas terutamanya ikan ketika ini menyebabkan pembeli kurang membeli hasil laut,” katanya.

Seorang pengunjung di Tok Bali, Abdullah Ibrahim, 44, berkata, orang ramai tidak dapat membeli ikan segar di LKIM Tok Bali apabila dasar tutup pintu kepada pembeli runcit dilaksanakan.

“Difahamkan, hanya pemborong dibenarkan membeli ikan yang didaratkan untuk dijual secara runcit di luar kawasan kompleks berkenaan.

“Pembelian runcit hanya boleh dibuat di pasar ikan berdekatan dengan kadar lebih tinggi berbanding harga di kawasan pendaratan ikan,” katanya.

Abdullah memberitahu, kompleks pelabuhan LKIM perlu dibuka kepada umum yang mam pu menjadi pusat pengumpulan hasil pertanian mini yang menyediakan bekalan ikan dan hasil pertanian lain yang diusahakan penduduk setempat.

“Disebabkan banyak faktor yang menghalang penduduk, mereka memilih Kompleks Perikanan Kuala Besut, Terengganu yang menyediakan jualan runcit pada kadar yang berpatutan setiap hari menerusi perniagaan borong dan runcit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI