fbpx

Senandung Raya Diana Danielle ingatan buat yang tersayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIANA DANIELLE

KEMELUT rumah tangga yang sedang dihadapi oleh aktres Diana Danielle bersama pasangannya, aktor Farid Kamil tidak sedikit pun memperlahankan momentum kerjaya wanita jelita itu.

Biarpun ‘drama’ rumah tangganya cukup hangat diperkatakan, tidak kurang dihakimi segenap sudut oleh masyarakat, Diana tetap meneruskan kehidupannya seperti biasa.

Menjelang Syawal, Diana yang pernah menghasilkan beberapa buah single sebelum ini buat julung kalinya muncul dengan lagu raya secara solo berjudul Senandung Raya ciptaan penyanyi dan komposer, Amylea.

Menurut Diana, 32, lagu terbitan Universal Music Malaysia tersebut memberikan cabaran tersendiri kerana perlu menyanyi dalam bahasa Melayu.

“Saya beritahu Amylea yang saya tidak berapa bagus menyanyikan lagu Melayu berbanding Inggeris, jadi dia sangat membantu.

“Ternyata bukan mudah, namun Amylea memberikan tip bagaimana mahu memajukan lagi nyanyian bahasa Melayu saya. Saya membesar dan mendengar banyak lagu Melayu, tapi tidak menyanyikannya. Jadi, sangat sukar ketika proses rakaman di studio.

“Ada perkataan yang kedengaran bunyi Inggeris, jadi tidak kena untuk lagu Melayu terasa janggal. Namun, selepas ulang beberapa kali, kami dapat lakukan juga dengan baik dan berharap peminat akan menikmati lagu ini,” kata Diana yang pertama kali bekerjasama dengan Amylea.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata, cabaran lain yang perlu dihadapinya adalah penggambaran video muzik pada saat akhir.

BUKAN tentang diri sendiri, lagu Senandung Raya Diana Danielle menyelitkan emosi perantau yang sudah lama tidak pulang ke kampung untuk menyambut raya.

Tambah Diana, biarpun sedar banyak cabaran menanti, dia tetap melakukan penggambaran berkenaan kerana mahu video muzik Senandung Raya disiarkan pada sambutan Syawal tahun ini.

“Sebelum ini saya tidak berpeluang merakamkan lagu raya solo hanya berkolaborasi sahaja dengan beberapa penyanyi.

“Jadi, Senandung Raya sangat istimewa bagi saya. Sejujurnya, saya bangga apabila turut menyumbang idea dalam video muzik.

“Sebagai penyanyi baharu, pengalaman ini sangat berharga. Saya belajar bagaimana kita menghasilkan sesuatu karya seni hanya bermula daripada sebuah idea,” kongsi Diana.

Bercerita lanjut mengenai konsep video muzik tersebut, kata Diana jalan ceritanya memaparkan suasana sebenar seseorang yang sudah lama tidak pulang beraya di kampung halaman.

“Konsep video muzik ini adalah kami mahu memaparkan apa yang dilakukan oleh orang ramai pada hari raya. Disebabkan itu, kami buat peraduan dan ikut pemenang itu balik kampung di Kelantan.

“Jadi, kami merakam situasi sebenar di mana pertemuan berlaku bersama keluarga selepas tidak pulang ke kampung selama beberapa tahun. Emosi dan suasana itu tidak sama jika semuanya direka-reka. Saya mahu video muzik nampak realistik. Konsep yang cukup tenang tetapi penuh makna,” ujarnya.

Meskipun baru pertama kali mendendangkan lagu raya secara solo, jauh di sudut hati Diana, dia juga menginginkan lagu Senandung Raya menjadi malar segar seperti kebanyakan lagu raya lain.

“Sebab lagunya bukan seperti kebanyakan lagu raya lain, tapi lagu raya yang berentak R&B, sekali gus mengingatkan saya pada lagu Datuk Sheila Majid.

“Jadi, saya harap orang ramai boleh terima kelainan yang dibawa dalam lagu ini dan raikan perbezaan. Saya selalu dengar orang cakap, kebanyakan lagu raya sama saja. Oleh itu, untuk lagu ini kami berikan kelainan.

“Mungkin ada risiko, tapi saya percaya peminat hari ini terbuka menerima sesuatu yang lain daripada kebiasaan seperti konsep dan genre lagu. Saya juga harap lagu ini menjadi lagu raya yang bakal dimainkan pada setiap tahun selain mengingatkan anda kepada orang tersayang,” kata Diana.

Senandung Raya sudah dilancarkan secara rasmi sejak 7 April lalu di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, manakala video muzik boleh ditonton di saluran Youtube Universal Music Malaysia.

KEMELUT rumah tangga yang meruncing tidak menghalang Diana Danielle menjadi lebih kreatif dalam berkarya dan mengembangkan karier seninya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI