fbpx

Jumlah penumpang naik 10 peratus bulan Mac 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyambungan semula penerbangan ke beberapa destinasi popular dapat memenuhi permintaan pelanggan. – gambar hiasan

PETALING JAYA – Jumlah pergerakan penumpang domestik dan antarabangsa di Malaysia terus mencatat pertumbuhan yang baik iaitu kira-kira 10 peratus pada bulan Mac 2023 berbanding Februari lalu masing-masing sebanyak tiga juta orang dan 3.7 juta orang.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, kadar pertumbuhan yang konsisten bagi bulan Mac itu menjadikan jumlah terkumpul pergerakan pelancong sehingga kini adalah sebanyak 18.7 juta orang, naik 125 peratus daripada 8.3 juta penumpang dalam tempoh yang sama tahun 2022.

Bagi peringkat kumpulan pula, Malaysia Airports merekodkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 9.4 juta pada bulan Mac lalu dan Lapangan terbang antarabangsa Istanbul Sabiha Gocken (SAW) di Turkiye merekodkan sebanyak 2.8 juta penumpang pada bulan Mac dengan pertumbuhan 10 peratus berbanding bulan ­sebelumnya.

“Sektor antarabangsa men­yumbang dengan ketara kepada SAW dengan pertumbuhan 10 peratus jumlah pergerakan penumpang bagi bulan Mac berbanding Februari 2023,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Selain itu, Malaysia Airports mengalu-alukan penyambungan semula beberapa penerbangan pada Mac lalu seiring dengan peningkatan permintaan daripada penumpang di rantau ini.

Antaranya adalah China Southern Airlines (CZ) memulakan penerbangan ke Lapangan terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dari Guangzhou (CAN) dan AirAsia’s (AK) memulakan penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) dan CAN.

Syarikat lain adalah Ethiopian Airlines (ET) menyambung pe­nerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) bagi laluan ­Addis Ababa (ADD), Air Arabia (G9) Sharjah (SHJ) – KUL, Firefly (FY) PEN – Singapura (SIN), Shenzhen Airlines (ZH) Shenzhen (SZX) – KUL dan AirAsia X (D7) KUL laluan Beijing (PEK).

Bagi laluan baharu pula, MYAirline (Z9) memulakan perkhidmatannya ke Lapangan Terbang Miri (MYY), Lapangan Terbang Sibu (SBW) dan Lapangan Terbang Tawau (TWU) dari KUL baru-baru ini.

“Pertambahan penerbangan dan laluan baharu ini telah ­menyumbang kepada jumlah pergerakan penumpang seba­nyak 6.7 juta pada bulan Mac, naik 15 peratus daripada bulan sebe­lumnya.

“Kami menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan baharu terbang ke Malaysia pada bulan ini.

“Salah satu daripadanya ­adalah syarikat penerbangan tambang murah dari Indonesia iaitu TransNusa Airlines yang memulakan penerbangan antara­bangsa sulungnya ke KUL dari Jakarta (CGK) baru-­baru ini,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI