GEORGE TOWN – Kehadiran bulan Ramadan bukan sahaja memberi rezeki kepada para peniaga, malah turut diambil kesempatan oleh pengemis bermusim untuk menagih bantuan hasil simpati daripada orang ramai.
Kumpulan pengemis ini hanya muncul pada waktu-waktu tertentu dengan modus operandi mereka adalah ‘berkampung’ di kaki-kaki lima kedai ataupun di lokasi tumpuan termasuk kawasan bazar.
Malah, ada kalangan pengemis bermusim ini sanggup meninggalkan kediaman masing-masing dan menginap di hotel bajet selain berulang-alik menunggang motosikal sejauh lebih 100 kilometer setiap hari.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling di sini mendapati, lebih 50 pengemis terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak memenuhi bahu jalan berkenaan bermula pukul 6 petang sehingga 3 pagi.Difahamkan, tradisi tahunan itu bukan sahaja dilakukan pada hujung minggu, malah akan berlarutan setiap hari sehingga malam terakhir Ramadan.
Seorang pengemis yang mahu dikenali sebagai Sha, 25, berkata, dia sanggup berulang-alik dengan menunggang motosikal sejauh 100 kilometer dari rumahnya di Seberang Perai ke Jalan Kapitan Keling di sini sepanjang Ramadan.
Dakwa ibu kepada seorang cahaya mata itu, sudah menjadi amalan ‘wajib’ buat mereka sekeluarga duduk di kaki lima untuk menunggu bantuan Ramadan dan Aidilfitri setiap tahun.
“Dari zaman kanak-kanak lagi saya dibawa ibu ke sini setiap kali bulan Ramadan dan perkara itu kekal sehingga saya berumah tangga. Kini, giliran saya pula membawa anak untuk mengemis.
“Kami akan duduk dari pukul 6 petang sehingga 3 pagi dan lokasi ini (Jalan Masjid Kapitan Keling) memang menjadi pilihan pengemis di bulan Ramadan untuk meminta duit, makanan mahupun baju raya.
“Biasanya, setiap pegemis akan menerima lebih 30 bungkus makanan hanya dalam tempoh enam jam,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Sha lagi, dia langsung tidak menyimpan perasaan malu untuk mengemis dan menganggap tindakan itu sebagai satu keperluan buat keluarganya setiap tahun.
“Dua minggu terakhir Ramadan memang meriah, memang tak menang tangan terima bantuan makanan dan lain-lain. Ini belum lagi masuk minggu akhir sebelum Hari Raya.
“Orang sekarang memang tak kedekut duit walaupun jumlahnya kurang daripada tahun-tahun yang lalu. Kali ini, kami mampu dapat lebih RM50 semalam berbanding lebih RM100 empat tahun lalu. Cukuplah buat beli baju raya,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi pengemis bermusim dikenali sebagai Aishah, 60, mendakwa, dia terpaksa menyewa hotel bajet dengan bayaran RM38 semalam sepanjang bulan Ramadan ini bersama anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).
“Saya tiada rumah di sini dan terpaksa sewa hotel murah. Berbanding rakan-rakan lain (pengemis), boleh dikatakan semuanya sudah ada rumah.
“Kami tidak kisah apa bantuan yang diberi. Baju terpakai pun kami ambil. Tetapi kena tengoklah dulu, sesuai atau tidak.
“Kadang-kadang, kami beli semula bantuan barangan dapur daripada kawan-kawan lelaki di sini pada harga kira-kira RM50.
“Setiap malam, hampir beratus-ratus orang datang, ada yang tunggang motor dan kereta besar,” jelasnya yang menganggap rakan pengemis Jalan Masjid Kapitan Keling sebagai satu keluarga.














